CAJ rundingan doktor di klinik swasta tetap akan dilaksanakan selepas cadangan mengenainya dibentang semula untuk pertimbangan Jemaah Menteri, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.
Katanya, beliau sudah membentangkan cadangan itu pada 20 April lalu namun Kabinet memutuskan ia perlu dibawa kepada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara terlebih dahulu.
“Telah saya bentangkan pada 20 April yang lalu, tidak ditolak oleh kabinet tetapi perdana menteri dan seluruh kabinet mahukan saya bentang semula kepada Majlis Tindakan Sara Hidup Nasional dan akan akhirnya kembali dibentangkan ke kabinet.
“Saya memberikan jaminan saya akan lakukan yang terbaik untuk memastikan penyelarasan caj ini dapat dilakukan,” katanya pada sidang media selepas Sesi Townhall Menteri Kesihatan bersama pengamal perubatan am swasta (GPs) di Puspanita Puri, Putrajaya hari ini.
Isu penyelarasan caj rundingan doktor di klinik swasta adalah antara isu hangat yang dibangkitkan oleh pengamal perubatan pada sesi dialog itu.
Pada 1998, kerajaan memperkenalkan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (PHFSA) untuk mengawal selia perkhidmatan rawatan sektor swasta dan melaksanakan kadar terbitan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) 1992 itu.
Ketika pindaan Akta PHSFA 2006, harga rundingan pengamal perubatan diselaraskan di bawah dua jadual iaitu Jadual 7 untuk pengamal perubatan am swasta (berdasarkan terbitan MMA 1992) dan Jadual 13 untuk doktor pakar swasta (berdasarkan terbitan MMA 2002).
Terbitan MMA 1992 menyaksikan harga rundingan RM10 hingga RM35 dan kadar rundingan baharu yang dituntut pengamal perubatan am dinaikkan kepada RM30 hingga RM125.
Menurut Dzulkefly, pihaknya mengakui bahawa caj tersebut sudah terlalu lama tidak dinaikkan.
“Ada yang menuntut saya menggunakan Seksyen 107 atas kapasiti seorang menteri, boleh sahaja membuat peraturan tertentu.
“Saya kata kita kena tekankan keputusan bersama terutama sebagai kerajaan baharu yang sedang menangani kos sara hidup rakyat. Kita tidak memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah B40,” katanya.
Seksyen 107 Akta PHSFA memberi kuasa kepada menteri untuk membuat peraturan-peraturan yang padanya, mendapati perlu atau suai manfaat bagi melaksanakan peruntukan akta berkenaan. – 11 Jun, 2019
Komen