SEORANG warga Mesir dipercayai wanita terberat di dunia meninggal pada Isnin kerana kegagalan fungsi buah pinggang dan jantung di sebuah hospital di Abu Dhabi selepas berbulan menjalani rawatan untuk mengurangkan berat badan dan membolehkan dia berjalan kembali.
Satu pasukan terdiri daripada lebih 20 orang doktor menjaga Eman Ahmed Abd El Aty, 37, sejak dia dimasukkan ke dalam Hospital Burjeel pada Mei lalu.
El Aty mulanya menerima rawatan di India, meninggalkan tempat tinggalnya di Alexandria dan menuju ke Mumbai menggunakan pesawat khas Airbus pada awal Febuari lalu.
Dia terpaksa menunggu lama kerana tiada syarikat penerbangan bersedia menerbangkannya kerana masalah kesihatan yang dihadapinya.
Dia tidak pernah meninggalkan rumah sejak lebih dua dekad dan mempunyai berat sekitar 500 kilogram.
Permohonannya untuk mendapatkan visa India pada mula ditolak tetapi selepas doktor yang merawatnya secara sukarela merayu terus kepada menteri luar yang campur tangan dalam kesnya itu, dia diberikan visa untuk ke India.
Dia menjalani pembedahan bariatik- prosedur pengecilan perut- bulan berikutnya dan berjaya menurunkan 100 kilogram di Hospital Saifee.
Keluarganya memberitahu doktor yang ketika kanak-kanak, dia didiagnosis menghidapi “elephantiasis”, penyakit yang menyebabkan kaki dan anggota badan lain membengkak menyebabkan dia tidak boleh bergerak.
Ketika dia meninggalkan Mumbai, doktor memberitahu El Aty sudah berjaya menurunkan hampir separuh berat badannya.
El Aty meninggalkan Mumbai kerana keluarganya bergaduh soal hala tuju rawatan dengan hospital menyebabkan progres rawatan terhalang.
Di Hospital Burjeel, Abu Dhabi, doktor berharap El Aty dapat berjalan kembali, menurut laporan Indian Express.
El Aty menyambut ulang tahunnya bulan lepas bersama keluarga dan doktor merawatnya.
El Aty yang berasal dari Alexandria itu berimpian untuk melawat pantai apabila dia sihat, lapor Indian Express memetik kenyataan ahli keluarganya. – AFP, 25 September, 2017.
Komen