Penjawat awam tidak boleh jadi pemimpin politik, kata PM


SM Amin

Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad berkata, penjawat awam boleh bergerak aktif dalam politik namun tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 Jun, 2019.

PENJAWAT awam boleh bergerak aktif dalam politik namun tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti kata Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, tindakan penjawat awam memegang jawatan dalam parti politik dikhuatiri akan mempengaruhi tugasan mereka sebagai pentadbir kerajaan.

“Penjawat awam dibenarkan berpolitik tetapi tidak menjadi pemimpin dalam parti politik.

“Dalam menjalankan tugas mereka, mereka tidak boleh dipengaruhi dengan keahlian mereka dalam mana-mana parti,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Rumah Peduli Negeri Melaka di Jasin hari ini.

Tegas Dr. Mahathir, penjawat awam perlu akur dengan segala arahan dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan pilihan rakyat.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengemukakan usul kepada kerajaan untuk memperkenalkan peraturan baharu melarang penjawat awam daripada terlibat secara langsung memegang jawatan dalam parti politik.

Cadangan itu memberi dua pilihan kepada kerajaan iaitu melarang penjawat awam memegang sebarang jawatan dalam parti politik atau mengekalkan dasar yang terpakai sekarang. 

Dasar sekarang yang dikuatkuasakan sejak 1993 membenarkan hanya penjawat awam kumpulan pelaksana dan sokongan memegang jawatan dalam parti politik.

Kelonggaran bagaimanapun diberikan kepada kumpulan pengurusan profesional perguruan.

Ahil Parlimen Langkawi itu turut mempertahankan tindakan kerajaan melantik orang-orang parti di dalam agensi dan syarikat berkaitan kerajaan.

“Kita memang tidak akan lantik mereka sebagai pengerusi badan-badan kerajaan, tetapi mereka berhak menjadi ahli lembaga pengarah dalam badan-badan kerajaan dan perniagaan-perniagaan kerajaan.

“Kalau tidak, kita akan dapati orang yang tak tolong dapat nikmat, orang yang tidak tolong dihalang daripada mendapat nikmat. Itu tidak adil,” katanya. – 4 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen