PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak fikir jemputan jamuan hari raya Sultan Johor kepada pemimpin Umno negeri itu baru-baru ini bertujuan politik, kerana raja-raja tidak boleh campur tangan dalam soal politik.
“Kalau dia jemput untuk hari raya, untuk makan, okay lah.
“Tetapi saya tidak ingat dia hendak jadi ahli politik kerana raja-raja tak boleh campur tangan dalam politik,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Rumah Peduli Negeri Melaka di Jasin hari ini.
Dr Mahathir diminta mengulas laporan berita yang mendakwa Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengundang hanya Umno Johor untuk jamuan hari raya di istana.

Ulasan Dr Mahathir itu dibuat sebelum pejabat media Sultan Johor menghebahkan Sultan Ibrahim hari ini menerima kunjungan pimpinan Bersatu negeri diketuai Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal ke Istana Pasir Pelangi.
“Tetamu-tetamu juga diraikan dalam satu majlis santapan minum petang bersama Baginda Tuanku Sultan,” kata kenyataan itu.
Pimpinan Umno sebelum ini membidas laporan media berkenaan yang disifatkan membuat fitnah jahat terhadap institusi diraja Johor.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah yang turut hadir majlis pada Sabtu menegaskan kunjungan bersempena sambutan Aidilfitri itu bukan atas dasar jemputan tetapi permohonan yang dibuat oleh Umno negeri untuk menghadap Sultan Johor.
“Saya dimaklumkan oleh Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Ir. Hasni Mohamed ia adalah suatu permohonan menghadap sempena Aidilfitri bukannya satu jemputan dari Sultan Johor.
“Berdasarkan permohonan tersebut, Tuanku berkenan untuk menerima menghadap Badan Perhubungan Umno Negeri Johor,” katanya. – 10 Jun, 2019.
Komen