Saya tidak tahu ada cadangan lapangan terbang baru Pulau Pinang, kata PM


SM Amin

PERDANA MENTERI Dr. Mahathir Mohamad tidak mengetahui terdapat cadangan daripada pihak swasta yang mahu membina lapangan terbang baharu di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Bagaimana Dr. Mahathir menyifatkan cadangan itu tidak rasional kerana terlalu banyak cadangan sedemikian diutarakan ketika ini

“Saya cuma baca dalam surat khabar. Sama betul atau tidak saya tidak tahu. Tetapi nampak ramai orang hendak buat airport, port (pelabuhan), hendak buat macam-macam.

“Kalau kita hendak buat semua, negara kita tidak ada lain melainkan airport,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Rumah Peduli Negeri Melaka di Jasin hari ini.

The Star hari ini melaporkan dua syarikat mengemukakan cadangan membina lapangan terbang di dua tapak berbeza di selatan Seberang Perai di Pulau Pinang.

Laporan itu juga menyebut sekiranya cadangan itu dipersetujui, ia menandakan zaman suram Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas.

Bagaimanapun Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan mendedahkan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai cadangan tersebut.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa laporan The Star sebagai serkap jarang yang tidak bertanggungjawab, yang mengelirukan media dan industri pengangkutan.

“Kedua-dua Kementerian Kewangan dan Pengangkutan, serta Kerajaan-Kerajaan Negeri Kedah dan Pulau Pinang semuanya tidak tahu menahu tentang khabar sensasi seperti yang dilaporkan di muka hadapan The Star hari ini.

“Laporan The Star tersebut hanya menyebabkan kekeliruan dalam kalangan industri komunikasi dan pengangkutan kerana mereka tidak menyatakan siapa yang telah menghadiri atau menerima cadangan-cadangan tersebut.” katanya dalam satu kenyataan media.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan mengingatkan bahawa urusan penubuhan dan penyelenggaraan lapangan terbang adalah di bawah bidang kuasa menterinya mengikut Akta Penerbangan Awam 1969.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kong Yeow juga dalam satu kenyataan lebih awal sebelum itu berkata beliau tidak tahu menahu tentang cadangan yang dilaporkan oleh akhbar itu.

Menurut The Star, sebuah syarikat sudah membentangkan cadangannya kepada Putrajaya sementara sebuah syarikat lagi akan berbuat demikian tidak lama lagi.

Cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA) melibatkan pengambilan tanah pertanian padi sementara cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara (NORIA) melibatkan tambakan pesisir selatan Seberang Perai.

Dua lapangan terbang yang dicadangkan itu terletak lebih kurang 10km antara satu sama lain, tambah laporan itu.

NMIA dicadang disambungkan dengan monorel dari Pulau Pinang ke terminal yang akan mengambil masa 45 minit.

Monorel itu juga akan bersambung dengan laluan rel Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) antara Padang Besar di Perlis dan Kuala Lumpur.

NORIA pula dicadang ditempatkan di sebuah pulau buatan yang juga akan menjadi hab perikanan laut dalam untuk aktiviti perikanan sampai ke Lautan Hindi. – 10 Jun, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen