KERAJAAN sedang mencari punca kematian sekumpulan Orang Asli di Gua Musang baru-baru ini sebelum mengambil tindakan lanjut, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Kita sedang mencari sebab kenapa mereka meninggal dunia dengan begitu ramai. Mungkin kerana jangkitan satu jenis penyakit.
“Tapi kita perlu tahu apa jenis penyakit yang sebabkan kematian mereka,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Rumah Peduli Negeri Melaka di Jasin, Melaka hari ini.
Sekumpulan Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh di Gua Musang sepanjang bulan Ramadan baru-baru ini didakwa jatuh sakit dan meninggal dunia akibat pencemaran bahan kimia ke atas sungai kesan operasi perlombongan dan perladangan.
Mengikut suku kaum itu, 14 orang meninggal dunia dan mangsa dikebumikan mengikut adat oleh penduduk kampung.
Polis bagaimanapun memaklumkan hanya menerima dua laporan kematian.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad hari ini berkata punca kematian mereka masih disiasat dan tidak menolak kematian disebabkan jangkitan virus.
Beliau juga berkata kerajaan sedia mengarahkan bedah siasat ke atas 12 mangsa yang dikebumikan sebelum ini, sekiranya kubur mereka dapat dikesan.
Dr Dzulkefly hari ini mendedahkan Kementerian Kesihatan mengesan masalah kesihatan di Kampung Kuala Koh sejak awal Mei tetapi sukar menyiasat lanjut kerana Orang Asli yang hidupnya bergerak dari satu tempat ke tempat lain.
Beliau juga memberitahu agensi alam sekitar sudah mengambil beberapa contoh termasuk masuk air di kawasan berkenaan untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Dr Dzulkefly turut mengesahkan 50 penduduk dirawat di hospital awam di Gua Musang, Kuala Krai, dan Kota Bharu.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak memasuki kawasan terlibat, khuatir jangkitan kuman di paru-paru mudah merebak melalui pernafasan.
Aktivis alam sekitar sebelum ini mendakwa kerajaan Kelantan gagal melindungi rakyatnya sendiri daripada kesan perlombongan, pembalakan dan perladangan, sehingga menyebabkan kematian.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil berkata kes di Kampung Kuala Koh itu dapat dielakkan jika kerajaan negeri menyekat aktiviti tersebut.
Kerajaan negeri juga sepatutnya memindahkan penduduk kampung ke kawasan lebih selamat apabila kes kematian pertama berlaku, yang didakwa berpunca daripada pencemaran air. – 10 Jun, 2019.
Komen