PENJAWAT awam perlu mengambil sikap berkecuali dan tidak mengikat diri mereka dengan mana-mana parti politik, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dr. Mahathir berkata, penjawat awam perlu meneruskan tugas mereka sebagai pentadbir awam yang bebas walaupun berlaku pertukaran pemerintahan buat pertama kali dalam sejarah Malaysia.
“Setelah kita punyai pertukaran dari segi pemerintah, pentadbir awam hendaklah teruskan kerja mereka sebagai pentadbir yang berkecuali dari parti politik bagi menjayakan dasar dan tindakan oleh kerajaan baharu memerintah.
“Saya percaya, semua pentadbir awam faham akan pengecualian mereka dari terlibat secara langsung dari parti politik.
“Kalau kita sedar perkara itu, maka dapatlah kita jalankan tugas dengan sempurna, bukan saja untuk pemerintahan baru, tapi jayakan negara dan bangsa kita,” katanya ketika berucap di Majlis Ucaptama Perdana Menteri bersama penjawat awam negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, hari ini.
Menurut Dr. Mahathir, meskipun tiada sebarang ikatan dengan parti politik, menjadi tanggungjawab penjawat awam untuk akur dengan dasar dan tindakan yang dilakukan oleh parti pemerintah.
Dr Mahathir mengakui dalam ucapannya bahawa bekerja di bawah kerajaan baharu dapat menimbulkan perasaan “pelik dan janggal” bagi sesetengah kakitangan awam.
“Ini menyebabkan kita berasa ganjil dan kaku. Kadang-kadang untuk menjalankan tugas, memberi khidmat kepada mereka yang dahulu terdiri daripada parti lawan, yang ditentang kerajaan kita, dan kita sebagai anggota pentadbiran, kita juga terlibat secara langsung,” ujarnya.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengemukakan usul kepada kerajaan untuk memperkenalkan peraturan baru melarang penjawat awam daripada terlibat secara langsung memegang jawatan dalam parti politik. – 10 Jun, 2019.
Komen