Tiada rumah terbuka jika disekat kutip sumbangan, kata bekas polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador melarang pasukan mengutip sumbangan untuk jamuan hari raya bagi mengelakkan amalan rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2019.

KALANGAN bekas pegawai polis akur dengan larangan mengutip sumbangan untuk sambutan musim perayaan namun berpendapat ia akan menyekat amalan anjuran rumah terbuka.

Bekas timbalan ketua polis Selangor, Mohd Fuad Abd Latiff berkata, sumbangan berkenaan selama ini dikutip bagi menganjurkan rumah terbuka seperti diadakan perdana menteri.

Jelasnya, ia dikutip daripada individu dan badan korporat kerana pasukan polis sememangnya tidak diperuntukkan dana untuk penganjuran acara seperti itu.

Biasanya, mereka mendapat sumbangan makan minum, kewangan dan tenaga petugas dari syarikat korporat atau rakan kenalan untuk menjayakan acara itu, kata Mohd Fuad.

Katanya, syarikat tersebut menyumbang kerana “ingin balas budi” PDRM menjaga keamanan dan keselamatan yang membolehkan mereka dapat menjalankan perniagaan dengan aman.

“Tetapi PDRM dilarang sama sekali menerima bantuan ini dari sumber yang haram iaitu dari syarikat atau individu yang menjalankan kegiatan haram atau jenayah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, individu yang terlibat dengan kegiatan haram tidak akan menyumbang kerana tahu akan ditahan serta merta sekiranya berbuat demikian.

Mohd Fuad mengulas larangan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador kepada pasukan itu supaya tidak lagi mengutip sumbangan untuk jamuan hari raya untuk mengelak rasuah.

Katanya pendirian itu wajar dipuji namun berpendapat PDRM tidak akan lagi dapat menganjurkan rumah terbuka sekiranya menolak semua sumbangan termasuk dari syarikat korporat.

“Anda tidak boleh harap pegawai dan anggota untuk mengeluarkan wang poket sendiri untuk penganjuran majlis seperti itu,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Pegawai Kanan Polis Pencen Malaysia (Respa) pula mengakui, kutipan dana seperti itu tidak pernah dibuat atau diarah oleh mana-mana pemimpin PDRM.

Ahli jawatankuasanya, Meor Chek Hussien Mahayuddin berkata jamuan yang diadakan selama ini biasanya hasil sumbangan peribadi dari pegawai dan anggota.

Namun bekas ketua polis Kuala Lumpur itu tetap menyambut baik arahan Abdul Hamid yang melarang amalan kutipan sumbangan itu diteruskan.

“Memang satu pendekatan yang baik demi mengelakkan tohmahan dan pandangan serong oleh masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Presiden  Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan berkata, nasihat Abdul Hamid itu waja dituruti oleh semua warga kerja PDRM.

Menurutnya, sekiranya nasihat Abdul Hamid itu pasti dapat mengangkat martabat PDRM setanding polis di negara asing seperti United Kingdom dan Singapura.

Jelasnya, amalan rasuah dan mengutip dana itulah antara perkara yang mencemar imej pasukan itu dan menyebabkannya tidak menjadi pilihan kerjaya utama di kalangan generasi muda.

“Jika di UK, melihat kepada imej terhormat yang dipamerkan pasukan polis di sana, kita sendiri teringin menjadi sebahagian daripada mereka.

“Di sini pula, apabila anak-anak menyuarakan hasrat untuk menjadi polis selepas tamat pengajian, tidak ramai ibu bapa yang akan memberi kebenaran mahupun galakan,” katanya.

Jelasnya, unsur rasuah timbul apabila pegawai meminta dana daripada pihak tertentu yang akan memberikannya tanpa soal.

“Namun, semestinya mereka akan mengharapkan balasan daripada pegawai berkenaan.

“Balasan semestinya dalam bentuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka sekiranya terbabit dalam jenayah atau apa jua salah laku,” katanya.

Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme (C4) pula berpendapat laranan Abdul Hamid itu mendedahkan amalan rasuah yang menjadi satu masalah besar dalam pasukan itu.

Pengarah eksekutifnya, Cynthia Gabriel berkata pusat itu menyokong penuh amaran tegas ketua pasukan PDRM itu tapi meminta ia disusuli dengan tindakan yang keras.

“Sesiapa yang terbabit dalam amalan seperti itu patut dihukum dengan mengambil tindakan disiplin atau digantung kerja.

“Pengutipan dana biasanya bukan untuk penganjuran majlis sebaliknya untuk wang belanja lebih pada Hari Raya,” katanya yang mendakwa amalan ini sudah diketahui umum sejak dahulu.

Abdul Hamid pada 3 Jun memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap pegawai dan ketua polis daerah yang masih berdegil mengutip dana untuk membiayai majlis sambutan perayaan

Tegasnya, amalan itu menggadai maruah diri serta pasukan dan menunjukkan polis bergelumang dengan najis rasuah serta salah guna kuasa.

Kenyataan Abdul Hamid itu ekoran kutipan dana oleh satu unit polis untuk pembiayaan kos jamuan Hari Raya yang tular di media sosial. – 9 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen