FILIPINA mengharamkan syarikat daripada mewajibkan wanita memakai kasut tumit tinggi semasa bekerja. Tindakan yang dianggap kumpulan hak buruh sebagai satu kejayaan menentang seksisme dan kesakitan.
Jabatan buruh mengeluarkan arahan yang berkuatkuasa pada Ahad lalu ketika kerajaan menyahut seruan yang sudah lama disuarakan pekerja kompleks membeli-belah, penyambut tetamu hotel dan krew penerbangan.
Majikan perlu melaksanakan penggunaan “kasut yang selesa dan praktikal” bagi meningkatkan kesihatan pekerja yang memerlukan mereka bekerja berdiri untuk jangka masa yang lama, kata arahan itu, yang tertakluk kepada kasut tumit tinggi berukuran 2.54 sentimeter (satu inci) atau lebih tinggi melainkan pekerja sendiri memilih untuk memakainya.
“Ia satu bentuk penyiksaan. Ia satu bentu penindasan dan perhambaan. Bayangkan terpaksa tahan sakit untuk lapan sehingga 10 jam sehari,” kata Alan Tanjusay jurucakap untuk Kesatuan Sekerja Buruh kepada AFP.
“Ia juga satu bentuk seksisme kerana budaya majikan yang mengatakan wanita yang memakai kasut tumit tinggit kelihatan lebih tinggi dan seksi dan kerana itu lebih menarik, lebih mampu menjual produk. Mereka tak tahu wanita menderita.”
Arahan jabatan itu mengatakan kerani jualan wanita dan pengawal keselamatan yang terpaksa bekerja memakai kasut tumit tinggi menderita sakit kaki, otot serta tekanan “melampau” pada sendi.
“Ini (kasut kerja) tidak sepatutnya menekan kaki atau jari; bersesuaian saiz dan tidak mudah tergelincir; menyediakan sokongan tekanan mencukupi untuk bentuk kaki; sama ada rata atau tumit rendah yang perlu mempunyai asas lebar atau jenis wedge,” katanya.
Jabatan buruh turut mengarahkan syarikat memberikan masa rehat atau kerusi untuk mengurangkan masa mereka berdiri atau berjalan mereka.
Tanjusay berkata kesatuan buruh melobi jabatan buruh bulan lepas susulan aduan daripada pekerja jualan wanita, penyambut tetamu hotel dan krew penerbangan.
Kompleks membeli belah di negara Asia Tenggara banyak menggaji wanita sebagai pekerja.
Kebanyakan wanita ini adalah pekerja kontrak tempoh singkat, kata Tanjusay.
Di bawah arahan jabatan itu pekerja wanita masih boleh memakai kasut tumit tinggi sekiranya mereka mahukannya, kata Tanjusay lagi. – AFP, 25 September, 2017.
Komen