RAKYAT tidak sepatutnya membuat komen melampau terhadap posting Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan tidak ada salahnya beliau menggunakan pepatah Melayu “enggang sama enggang, pipit sama pipit”, kata pakar sejarah.
Dr Ramlah Adam dipetik New Straits Times berkata, rakyat berhak menyuarakan pendapat mereka, tetapi hidup dalam masyarakat bertamadun menyekat mereka daripada membuat kenyataan menyakitkan.
“TMJ berhak berkata apa dikehendakinya, dan tidak salah menggunakan pepatah ‘enggang sama enggang, pipit sama pipit’ yang bermaksud bergaul dengan orang sama status sosialnya.
“Rakyat juga perlu faham bahawa hierarki sosial memang wujud.
“Pepatah itu menggambarkan perbezaan status sosial, yang bukan hanya ada di negara ini, tetapi tempat lain di dunia.
“Saya tidak kata ia betul atau salah, tetapi begitulah keadaannya di dunia ini,” katanya dipetik daripada akhbar itu.
TMJ baru-baru ini menerusi laman sosial bercakap tentang gaya pakaian baju Melayu, berseluar hitam dan bersamping yang hanya sepatutnya dipakai oleh kerabat diraja Johor dan pendampingnya.
Beliau menyatakan kekesalannya kerana pada masa ini ramai yang cuba meniru gaya pakaian kerabat Johor, walaupun pada masa sama mereka sering mengata keluarga diraja itu.
“Hari ini ramai orang cuba pakai gaya keluarga diraja Johor. Ramai orang luar dan sesetengah individu yang tak suka atau megata keluarga diraja Johor, tetapi gaya Raja Johor semua nak ikut.
“Ramai nak jadi raja sebenarnya. Saya yang anak raja ni pun apabila tersilap langkah, saya ditegur oleh almarhum atuk saya. Kau jangan lupa helang dan pipit terbang tak sama tinggi. Kau baik tahu tempat masing-masing dan angan-angan tu rendahkan sikit daripada rumput.
“Yang terakhir, orang Johor pakai teluk belanga bukan cekak musang,” katanya di akaun Instagram.
Ramlah berkata beliau faham kekecewaan dalam institusi diraja yang diluahkan oleh generasi muda di media sosial, tetapi kesaksamaan mutlak tidak wujud walaupun ada yang merasakan sistem monarki sudah lapuk.
“Status anda bergantung pada pendidikan dan gaji anda, jika anda tidak dilahirkan dalam keluarga diraja.
“Ketua polis negara misalnya tidak sama taraf dengan pegawainya, dan ketua pesuruhjaya SPRM juga tidak sama taraf dengan orang awam.
“Kenapa anda hendak letak diri anda di paras lebih bawah bila anda sudah berada di atas sana?,” katanya kepada New Straits Times.
Ramlah berkata semua orang, tidak mengira pangkat perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan umum kerana ia menggambarkan tahap intelek rakyat negara ini.
“Buat komen munasabah dan jangan terlebih sensitif.
“Hanya kerana TMJ buat komen itu, kita mula hendak bercakap tentang memansuhkan monarki?
“Ia bukan mudah kerana institusi diraja penting di Malaysia.
“Jadi, berjaga-jaga dalam membuat kenyataan yang boleh melukakan perasaan orang lain dan rasional bila bercakap,” katanya. – 8 Jun, 2019.
Komen