PELANTIKAN Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya agensi antirasuah tidak perlu dibahaskan lagi, kata bekas pemimpin badan itu Mohd Shukri Abdull.
Shukri yakin penggantinya itu dapat menjalankan tugasnya secara profesional kerana keputusan itu sudahpun dibuat oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Ini adalah hak prerogatif Dr Mahathir Mohamad, saya tidak akan mempersoalkannya. Keputusan telah dibuat dan mengapa kita mesti bertengkar mengenai perkara ini.
“Ia adalah satu pembaziran masa,” katanya yang menggesa agar Latheefa diberi peluang dan disokong untuk memimpin SPRM dengan baik.
Beliau juga yakin Latheefa akan dapat melaksanakan tugasnya walaupun dia tidak mempunyai pengalaman memimpin badan pencegah rasuah.
“Tugasnya adalah untuk menggerakkan SPRM, seperti yang saya buat. Penangkapan dan siasatan akan dijalankan oleh pegawai. Mereka mempunyai pengetahuan yang mendalam.
“Saya meletakkan kepercayaan tinggi kepadanya, dia akan melakukan yang terbaik untuk SPRM, dan pegawai saya akan membimbingnya dan saya harap mereka dapat memberikan kerjasama yang terbaik kepada beliau,” katanya.
Mohd Shukri juga berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai pelantikan Latheefa lebih awal dan sebaliknya hanya mengetahui perkara itu melalui laporan berita.
Namun beliau tetapi menyokong pelantikan tersebut walau mencadangkan dua nama lain dari kalangan pegawai SPRM untuk menggantikannya.
“Saya tidak tahu sehingga 4 Jun dan saya juga kemukakan dua nama bagi menggantikan saya, namun terlambat kerana keputusan sudah dibuat,” katanya lagi.
Ketika diminta mendedahkan identiti dua pegawai tersebut, Mohd Shukri bagaimanapun enggan menamakannya.
Katanya, beliau bertemu Dr Mahathir bersama seorang lagi bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Abu untuk menyerahkan surat berkenaan.
Menurut Mohd Shukri, Dr Mahathir tidak memberi apa-apa maklum balas ke atas dua nama yang dicadangkannya sebagai ketua pesuruhjaya baharu SPRM.
Tambahnya, keputusan untuk bersara awal itu juga dijelaskannya sewaktu menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Ia adalah panggilan kehormat. Saya bertemu dengan Agong kerana baginda ingin mengetahui sebab saya. Saya menjelaskan kepada Agong mengenai hasrat saya,” katanya.
Shukri yang menjadi pegawai SPRM selama 32 tahun pada awalnya bersara pada Julai 2016 selepas menerima ancaman kerana menyiasat Najib Razak yang merupakan perdana menteri waktu itu.
Selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, beliau kembali ke SPRM pada 18 Mei tahun lalu dan dilantik semula sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.
Pada minggu lalu, Shukri berkata misinya selesai apabila berjaya membawa kes 1Malaysia Development Bhd dan SRC International ke mahkamah.
“Tempoh saya sudah berakhir. Saya hanya ingin berehat berikutan sudah melakukan tugas saya sejak setahun lalu. Janji saya sudah ditunaikan,” kata Shukri. – 8 Jun, 2019.
Komen