Pemilik resort Semporna berdepan banyak cabaran


Khoo Gek San

Sabah kini memfokuskan kepada Semporna, Sandakan dan Tawau untuk menarik lebih ramai pelancong. Kira-kira 3.8 juta pelancong melawat Sabah pada 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2019.

ANCAMAN lanun, kos operasi lebih tinggi akibat gaji minimum dan kurangnya bekalan air dan elektrik antara cabaran dihadapi pengusaha resort di syurga penyelam di Semporna, Sabah.

Tambahan lagi, mereka juga berdepan masalah mendapatkan pekerja tepat pada masa kerana biasanya proses permohonan pekerja asing mereka tersekat.

Dengan kerajaan negeri kini fokus kepada Semporna, Sandakan dan Tawau untuk menarik lebih ramai pelancong, pengusaha ini mencari semua bentuk bantuan yang boleh diterima daripada kerajaan.

Kira-kira 3.8 juta pelancong melawat Sabah pada 2018, peningkatan 5.3% berbanding 2017, menjana pendapatan Sabah mencecah rekod RM8.3 bilion dalam perolehan sektor pelancongan.

Kerajaan negeri berpendapat zon menyelam sekitar Semporna, Sandakan dan Tawau dapat membawa pendapatan tambahan.

Pengarah Urusan Mabul Water Bungalows Luo Ming He berkata semakin ramai pelancong China datang ke Semporna untuk belajar menyelam skuba, menyebabkan resort itu terpaksa mencari lebih ramai pelatih menyelam.

Luo berkata sukar untuk mendapatkan kelulusan bagi pekerja asing, dan gaji minimum baharu juga menambah kesukaran mereka.

Beliau berkata resort itu pada masa ini mempunyai 250 pekerja. Dengan gaji minimum baharu yang ditetapkan pada RM1,050, kos operasi meningkat antara 20% hingga 25%, menyebabkan beberapa pekerja terpaksa diberhentikan.

“Kami memohon permit kerja untuk pelatih selam dari China dan proses itu mengambil masa kira-kira dua bulan, tetapi kami terpaksa membayar dua bulan gaji mereka sementara mereka masih tidak dibenarkan datang dan bekerja di sini,” kata Luo kepada The Malaysian Insight.

Kerajaan negeri berpendapat zon menyelam sekitar Semporna, Sandakan dan Tawau dapat membawa pendapatan tambahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2019.

Katanya, beliau mengambil pelatih selam China kerana peningkatan pelancong China, sementara pelancong dari Barat mulai berkurangan kerana nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat.

Luo berkata beliau mengambil pekerja yang fasih berbahasa Cina dan Inggeris sejak beberapa tahun terakhir ini.

Pengarah Urusan Singamata Adventures & Reef Resort Tang Woo Keong juga bersetuju gaji minimum baharu menaikkan kos operasi.

Tang berkata pekerja tempatan dibayar purata gaji RM600 sebulan sementara cef dibayar dengan lebih tinggi.

Dengan gaji minimum ditetapkan kerajaan sekarang, pada RM1,050 dan akan naik hingga RM1,500 secara berperingkat, mereka perlu melakukan pengubahsuaian tenaga kerja.

Ini termasuk mengurangkan tenaga kerja, dan ini akan menyebabkan ramai pekerja tempatan di resort itu hilang kerja.

Pengusaha resort berkata kos operasi di bahagian pulau luar lebih tinggi, terutama membabitkan minyak bot laju. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2019.

Selain isu tenaga kerja, kebanyakan resort di kawasan pulau itu terpaksa mencari sendiri bekalan elektrik dan air.

“Resort tidak disediakan dengan bekalan air bersih, pekerja kami terpaksa mengangkut air bersih dari luar ke resort.

“Bekalan elektrik juga sering terputus, dan pengusaha terpaksa membeli generator bagi memastikan bekalan elektrik tidak terganggu,” katanya.

Katanya, kos operasi resort di pulau luar lebih tinggi, terutama membabitkan minyak bot laju.

“Generator juga mahal dan kerja pembaikannya mahal jika ia rosak,” kata Luo.

Beliau berkata Sabah juga bersaing dengan Bali dan Filipina untuk menarik pelancong di mana mereka ada program lebih lengkap untuk ditawarkan, menyebabkan ia lebih menarik berbanding Sabah.

Selain isu tenaga kerja dan utiliti, Tang berkata perkembangan industri pelancongan bergantung pada kerjasama beberapa pihak termasuk memastikan tambang ke Tawau rendah.

“Kadangkala tambang pesawat dari Kuala Lumpur ke Tawau boleh mencecah hingga RM1,500. ini akan menyebabkan pelancong tidak datang, dan kerugian kepada industri pelancongan.

“Ketika musim percutian China, akan timbul masalah mereka tidak dapat menempah pesawat dan pelancong terpaksa membuat tempahan lebih awal,” katanya.

Beliau berharap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Budaya akan berbincang dengan syarikat penerbangan dan memantau kenaikan harga tambang ke Tawau. – 8 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen