.jpg)
PELANTIKAN Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM telah mengundang kontroversi kerana dianggap sebagai lantikan politik dan tidak menepati hasrat Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya untuk memperkasakan institusi demokrasi ini dengan meletakkan SPRM di bawah Parlimen.
Sungguhpun begitu, pelantikan ini tidak harus dibiarkan terus menjadi kontroversi sehingga boleh menimbulkan polemik politik yang boleh menjejaskan kestabilan politik kerajaan PH.
Bagi membolehkan agenda memulihkan ekonomi negara dan rakyat berjalan dengan baik, kestabilan politik amat penting.
Kekalahan Parti Demokratik Jepun yang hanya mentadbir sepenggal kerana antara lain wujudnya konflik dalaman harus dijadikan pengajaran.
Justeru, usaha membasmi rasuah yang sedang dilaksanakan secara serius oleh kerajaan PH sekarang harus menjadi keutamaan dan kontroversi pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM ini pula dijadikan pengajaran reformasi tadbir urus kerajaan PH.
Kerajaan baharu yang dipilih rakyat ini digagaskan atas perjuangan membasmi rasuah dan oleh itu seseorang dari eksternal, yang mempunyai kelayakan bidang ilmu undang-undang dan karakter yang berani dan tegas sesuai untuk dilantik.
Justeru, suatu peluang harus diberikan kepada Latheefa untuk menjalankan tugas ini dengan bebas, adil serta tanpa takut dan berat sebelah.
Pelantikan Latheefa Koya juga menepati seksyen 5 Akta SPRM dan tiada pelanggaran undang-undang berlaku dalam perlantikan ini.
Oleh demikian, semua pihak diharapkan memberikan sokongan penuh kepada kerajaan PH dalam usaha membasmi rasuah di semua peringkat pentadbiran. – 7 Jun, 2019.
*Faiz Fadzil adalah Adun Permatang Pasir (Amanah)
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen