Latheefa mahu laksana tanggungjawab banteras rasuah


Latheefa Koya memulakan tugas sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 7 Jun, 2019.

LATHEEFA Koya memberi jaminan untuk melaksana tanggungjawab sebagai ketua pesuruhjaya agensi antirasuah yang baharu untuk membanteras jenayah tersebut.

Katanya, segala kritikan yang timbul sejak pelantikannya diumumkan kerajaan berhak disuarakan namun beliau tetap akan mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sesiapapun berhak menyoal, mengkritik atau mengeluarkan pendapat masing-masing, ini tidak mengapa. Tugas saya jelas, iaitu untuk membanteras rasuah di mana-mana sahaja. 

“Dengan sokongan dan dukungan rakyat dan pegawai saya di SPRM, kami akan dapat mengubah Malaysia kepada satu masyarakat yang alah kepada rasuah dan bebas dari rasuah,” katanya.

Dalam kenyataan tersebut, Latheefa berkata beliau juga akan merangka rancangan tindakan untuk membolehkan budaya menolak rasuah dipupuk dalam pendidikan.

“Saya juga akan melihat kepada tindakan jangka panjang, termasuk juga pendidikan, bagi mewujudkan satu budaya yang tidak bertoleransi kepada rasuah. 

“Adalah hak asas setiap rakyat Malaysia untuk dibenarkan hidup, bekerja dan makmur dalam satu persekitaran yang bebas rasuah,” katanya.

Latheefa pada Selasa lalu diumumkan sebagai pengganti Mohd Shukri Abndull, yang bersara lebih awal daripada tarikh tamat kontrak 17 Mei 2020.

Pengumuman itu mengejutkan ramai pihak termasuk dari kalangan pemimpin Pakatan Harapan yang menyatakan pandangan berbelah bahagi ke atas pelantikan ittu.

Latheefa menerima pujian atas keberanian dan khidmatnya dalam menangani kes hak asasi manusia tetapi pelantikan itu dikritik kerana melangkaui jawatankuasa terpilih parlimen bagi pelantikan utama dalam jawatan kerajaan.

Jawatankuasa itu dibenttuk oleh kerajaan Pakatan Harapan bagi memenuhi janji dalam manifesto parti itu untuk memberi lebih banyak ketelusan dalam pelantikan jawatan utama kerajaan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberitahu wartawan pada Rabu bahawa beliau memutuskan untuk melantik Latheefa mengetuai SPRM.

Pelantikan Latheefa menerima kritikan kerana beliau merupakan anggota PKR dan merupakan anggota jawatankuasa pusat serta ketua biro undang-undang.

Latheefa berkata beliau meletak jawatan daripada parti selepas diberitahu mengenai pelantikannya ke jawatan ketua pesuruhjaya SPRM. – 7 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen