SEORANG lelaki melarikan barang kemas bernilai lebih RM460,000 dalam satu rompakan di sebuah kedai di pasar raya di Taman Universiti di Skudai.
Menurut sumber polis, rompakan itu berjaya dilakukan dengan bantuan seorang pengawal keselamatan di kedai terbabit yang memberi maklumat.
Maklumat itu membolehkan suspek melarikan lebih 1,000 utas rantai emas dalam sekelip mata dalam kejadian kira-kira jam 12.30 petang itu, kata sumber.
“Susulan dari kejadian itu, polis menahan pengawal keselamatan premis berkenaan selepas memberi keterangan yang mencurigakan selain menemui bahan bukti yang boleh membantu kes di dalam telefon bimbitnya,” kata sumber.
Menurutnya lagi, suspek yang memakai sarung tangan dan topi keledar penuh muka pada awalnya menunggang motosikal di dalam pasar raya sehingga ke hadapan kedai emas itu.
Suspek seterusnya berjalan masuk dan mengarahkan pekerja kedai menyerahkan barangan kemas di dalam meja kaunter.
“Seterusnya suspek memasukkan barang kemas itu ke dalam beg plastik hitam sebelum melarikan diri,” kata sumber.
Tambahnya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. – 6 Jun, 2019.
Komen