Jangan derma cari glamor, kata aktivis sosial


SM Amin

Aktivis sosial Syed Azmi Alhabshi berkata ramai berdegil mahu menyampaikan sendiri sumbangan walaupun dinasihatkan mengikut saluran betul melalui pertubuhan yang lebih arif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2019.

AMALAN derma dan sedekah yang murni pada Ramadan jadi membazir kerana sikap segelintir masyarakat yang berbuat kebajikan kerana mencari nama dan glamor, kata aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi.

Katanya, kelompok ini berdegil mahu menyampaikan sendiri sumbangan kepada gelandangan walaupun dinasihati supaya mengikut saluran betul melalui pertubuhan masyarakat yang lebih arif akan keperluan mereka.

“Mereka hendak glamor, hendak nama bila menyampaikan sumbangan. Kalau itu niatnya, inilah yang dapat, pembaziran. Memang betul kawasan Chow Kit itu memerlukan tetapi sampai 30 malam ke?

“Ada banyak juga rakan-rakan aktivis yang tegur tetapi kena marah balik dengan penyumbang. Ini juga satu masalah dengan sikap penderma,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Azmi menjelaskan beliau meraikan bantuan yang diberikan tetapi meminta penderma supaya menghubungi badan masyarakat berkaitan untuk urusan penyelarasan bagi mengelakkan lambakan sumbangan.

Katanya, bantuan untuk gelandangan atau kumpulan yang memerlukan tidak semestinya dalam bentuk makanan sahaja apatah lagi makanan yang cepat rosak.

“Kalau beri duit takut salah guna, bayarlah bil air dan elektrik. Bayar lebih pun tidak apa sebab baki boleh bawa ke hadapan.

“Pada bulan puasa, ada rumah perlindungan mengumpul dana menampung kos operasi mungkin sehingga enam bulan mendatang kerana bulan lain tidak banyak sumbangan. Ini memang lumrah,” katanya.

Sementara itu Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman berkata amalan bersedekah dituntut dalam Islam, dan terbahagi kepada sedekah wajib iaitu zakat dan sedekah sunat.

Bagaimanapun kata Rahman, soal sumbangan yang berlebihan sehingga menyebabkan pembaziran tidak sepatutnya berlaku kerana masih banyak lagi tempat yang amat memerlukan.

“Cuma persoalannya sekarang ini pengagihan itu perlu adil, itu sahaja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Justeru, beliau mencadangkan supaya badan masyarakat mewujudkan satu pusat sehenti supaya sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan atau rumah perlindungan dapat diselaraskan.

“Jadi berlebih itu sebab tertumpu dengan rumah anak yatim tertentu sedangkan rumah anak yatim yang lain banyak lagi. Kalau ada pusat sehenti itu lebih baik.

“Perlu ada penyelarasan supaya lebih mudah masyarakat hendak menyumbang kepada mereka yang betul-betul memerlukan. Tidaklah jadi membazir,” ujarnya. – 6 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen