SUMBANGAN dan bantuan amal kebajikan tidak patut dihentikan setelah selesai Ramadan, kata pentadbir rumah anak yatim, sebaliknya perlu diteruskan sepanjang tahun.
Bantuan bermusim yang terhad dan melimpah setakat Ramadan sebaliknya tidak membantu meringankan operasi rumah kebajikan dan anak yatim pada bulan yang lain, kata mereka.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, pada bulan lain selepas dan sebelum Ramadan, rumah kebajikan dan anak yatim masih perlu menampung kos untuk sewa premis, pendidikan dan tanggungan makan minum.
Pengetua Pusat Jagaan Amal Asyura di Sungai Buloh, Selangor, Lutfatul Hana Zainalaludin berkata keghairahan berbuat baik pada bulan Ramadan kadang-kadang bertukar jadi lambakan dan seterusnya pembaziran.
“Mereka yang menyumbang dalam bentuk makanan, kena bijaklah mengatur. Tidak semua nasib rumah anak-anak yatim sama. Ada yang berlebihan sumbangan tetapi masih banyak juga yang amat memerlukan bantuan.
“Orang buat kebajikan ini ada musim, macam bulan Ramadan. Saya tidak kata semua orang, tetapi itu sudah menjadi tradisi. Sepatutnya kebaikan dan kebajikan itu tidaklah bermusim,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau juga kesal terhadap sesetengah penyumbang yang ‘pilih bulu’ dalam melakukan kebaikan seperti menolak untuk memberikan sumbangan ke rumah anak yatim yang dilihat sudah “cantik”.
Jelasnya, rata-rata rumah perlindungan tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menjalankan operasi. Mereka bergantung sepenuhnya atas sumbangan dan bantuan masyarakat sekeliling, selain pendapatan daripada jualan amal.
“Ada yang beritahu hendak beri sumbangan Ramadan tetapi hendak beri kepada yang betul-betul daif. Memanglah anak-anak yatim ini susah tetapi takkanlah hendak tidur di reban ayam (baru dianggap susah).
“Kebersihan dan kekemasan rumah itu penting. Orang tidak tahu bagaimana susah kita hendak tanggung kos operasi yang tinggi dengan sewa rumah, hendak bagi anak makan, sekolah lagi,” ujarnya.
Niat menderma, hasilnya membazir
Pengetua Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras di Selangor, Jamaluddin Wahab pula berkata orang ramai yang mahu menyumbang sepatutnya menimbangkan juga sedekah dalam bentuk wang dan barangan tahan lama, dan bukannya makanan semata-mata.
Ambil iktibar daripada sumbangan makanan yang berlambak sepanjang Ramadan lalu akhirnya jadi membazir, katanya.
“Bagi saya kepada mereka yang hendak beri bantuan, kita ubah daripada beri makan minum kepada wang atau barang yang boleh tahan lama. Pakaian dalam pun sangat penting yang selalu terlepas pandang.
“Kadang-kadang ada prasangka kepada pihak pengurusan jika hendak bagi dalam bentuk kewangan, adakah akan digunakan sebaiknya… tetapi jika hendak beri makan minum, pastikan dahulu dengan pengurusan untuk elak pembaziran,” ujarnya.
Pandangan Jamaluddin dikongsi Pengurus Rumah Safiyah Alam Jaya, Amirul Syahid Yaakop yang mengakui masih ramai masyarakat sangsi untuk menyumbang dalam bentuk wang kerana khuatir disalah guna.
“Kita di Rumah Safiyah ada mengeluarkan resit LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) atas setiap sumbangan. Resit pengecualian cukai ini bukti yang sangat kuat bagi mereka yang hendak beri sumbangan tunai.
“Resit ini boleh digunakan untuk tuntutan cukai mereka. Kita akan diaudit oleh LHDN setiap tahun. Kalau kita salahgunakan resit tersebut, kelayakan akan ditarik dan disenarai hitam terus. Masyarakat tidak perlu risau,” katanya.
Mengulas mengenai lambakan sumbangan pada bulan puasa, Amirul berkata pihaknya sudah mewujudkan rangkaian setempat supaya lebihan sumbangan dapat diberikan kepada kumpulan yang memerlukan.
Jelasnya, rangkaian komuniti ini sangat penting supaya anak yatim dapat menikmati hidup dengan baik walaupun selepas Ramadan.
“Kita ada adakan kerjasama dengan komuniti di Puncak Alam, jika ada barangan lebih di tempat kita, kita akan salurkan semula kepada rumah-rumah lain ataupun pusat-pusat tahfiz yang berdekatan.
“Bulan-bulan lain, komuniti di sini sangat membantu. NGO dan juga Masjid Puncak Alam sering bertanyakan perkembangan sekiranya ada yang kekurangan daripada kami.
“Pelaksanaan rumah-rumah macam ini perlu kerjasama ramai,” ujarnya. – 6 Jun, 2019.
Komen