Mana dasar ekonominya, tanya Ku Li kepada Pakatan


Chan Kok Leong SM Amin

Tengku Razaleigh Hamzah berkata Pakatan Harapan sudah sepatutnya mula mentadbir negara dengan membentangkan satu dasar yang terang tentang ekonomi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Jun, 2019.

KERAJAAN di bawah Pakatan Harapan (PH) belum menggariskan dasar ekonominya yang jelas walaupun sudah lebih setahun mendapat mandat rakyat, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Katanya, parti itu sudah sepatutnya mula mentadbir negara, dan caranya ialah dengan membentangkan satu dasar yang terang tentang ekonomi.

Apa yang ada setakat ini hanyalah kenyataan mengenai dasar tetapi bukan dasar itu sendiri, katanya, merujuk kepada konsep kemakmuran bersama yang disebut oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

“Tidak ada dasar tentang ekonomi. Hanya Dr Mahathir buat kenyataan (mengenai kemakmuran bersama) baru-baru ini semasa sambutan ulang tahun (setahun PH menjadi kerajaan).

“Tetapi dasarnya belum ada,” kata veteran Umno itu dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

Tengku Razaleigh juga menarik perhatian bahawa hal sama juga ternampak dalam soal pendidikan, yang tidak membayangkan ada dasar baru.

“Tentang pendidikan, kita berharap ada pembaharuan dibuat supaya kita dapatkan satukan rakyat… tetapi tak ada juga. Sebaliknya yang ada cakap-cakap soal kasut hitam, berenang dan seumpamanya.

“Saya bukan nak mengata beliau (Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik) tetai semua perkara itu tidak mustahak. Kita hendak beliau tangani isu pokok dalam pendidikan.”

“Orang tidak gembira kerana mutu pendidikan kita rendah. Orang tidak fikir kita boleh kejar kemajuan teknologi yang orang lain nikmati,” katanya.

Ahli Parlimen 12 penggal itu berkata PH boleh buat lebih baik sekiranya ia menumpu perhatian kepada mentadbir dan bukannya hanya menyalahkan kerajaan sebelum ini.

“Awak sudah dapat mandat, teruskanlah. Mereka ini sudah ditangkap dan didakwa, biarlah mereka hadap masalah itu,” katanya.

Berikut petikan wawancara tersebut:

TMI: Apa pandangan tentang PH?

TR: Kalau PH tidak banyak main politik sebagai kerajaan, saya fikir mereka tentu berjaya. Mereka masih menyalahkan kerajaan sebelum ini, Najib Razak dan yang lain-lainnya. Awak sudah dapat mandat, teruskanlah. Mereka ini sudah ditangkap dan didakwa, biarlah mereka hadap masalah itu.

Sudah dapat mandat dari rakyat, buat sajalah. Kenapa mesti terus salahkan Barisan Nasional (BN)?

Saya tidak gemar dengan Lim Guan Eng. Saya hendak beritahu dia, terutamanya isu hutang RM1 trilion ini. Sebenarnya bukan RM1 trilion. Saya rasa mereka ini tidak tahu baca akaun.

Saya pernah jadi menteri kewangan juga, lebih lama daripada dia. Saya pun seorang pegawai bank juga. Kita tidak baca akaun macam itu dan terima perakaunan negara yang dipakai oleh IMF dan badan lain. Itu kayu ukur untuk mengukur pertumbuhan.

Apabila semuanya diletakkan dalam satu raga, ia akan jadi berat. Itu menakutkan pelabur kerana ada buruk dan baiknya. Awak mungkin boleh burukkan nama BN dan pemimpinnya tetapi awak juga menakutkan mereka yang hendak melabur ke sini.

Duit tidak masuk dan kita juga tidak menguruskan kedudukan hutang kita dengan baik. Mereka (kerajaan) akan ke sana ke mari mencari duit.

Saya tidak pernah ke mana-mana semasa saya jadi menteri kewangan kerana orang datang atas kehendak mereka sendiri.

TMI: Sebagai bekas menteri kewangan, adakah Tengku akui kos projek yang melambung seperti Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan projek paip gas di Sabah yang berat sebelah disebabkan oleh kerajaan sebelum ini?

TR: Saya tidak kata itu semua baik. Tidak bagus kalau sengaja meletakkan harga yang tinggi. Tetapi ia dimulakan semasa zaman Dr Mahathir lagi.

Lebuh raya bertingkat? Berapa kosnya? Satu kilometer boleh buat 10 lebuh raya. Ia dinaikkan itu dan ini untuk kawan-kawan.

TMI: Adakah apa-apa yang baik yang PH sudah buat?

Yang baiknya, dia satukan rakyat. Yang paling besar ialah kesedaran bahawa kita mesti berdepan dengan realiti dan bukannya hidup dalam mimpi.

PH berjaya satukan rakyat yang tidak percaya bulat-bulat apa yang BN kata, untuk menyokongnya. Rakyat sudah mula menerimanya walaupun ada banyak propaganda, dan sesetengahnya sangat berlebih-lebihan. Macam 1MDB (1Malaysia Development Berhad). Siapa tahu, Najib mungkin lepas.

Tengku Razaleigh Hamzah ingin kerajaan menangani isu pokok dalam pendidikan.. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Jun, 2019.

TMI: Bagaimana dengan dasar pendidikan?

TR: Adakah dasarnya? Tidak ada dasar untuk ekonomi pun juga. Hanya Dr Mahathir buat kenyataan (mengenai kemakmuran bersama) baru-baru ini semasa sambutan ulang tahun (setahun PH menjadi kerajaan). Tetapi dasarnya belum ada.

Tentang pendidikan, kita berharap ada pembaharuan dibuat supaya kita dapatkan satukan rakyat… tetapi tak ada juga. Sebaliknya yang ada cakap-cakap soal kasut hitam, berenang dan seumpamanya.

Saya bukan nak mengata beliau (Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik) tetapi semua perkara itu tidak mustahak. Kita hendak beliau tangani isu pokok dalam pendidikan.

Orang tidak gembira kerana mutu pendidikan kita rendah. Orang tidak fikir kita boleh kejar kemajuan teknologi yang orang lain nikmati.

Tidak ada apa yang dikemukakan.

Pendidikan ini salah satu cara untuk menyatukan rakyat dan membantu semua orang maju. Tunku Abdul Rahman mulakan dengan pendidikan melalui Penyata Razak pada 1956.

Tunku fikir ia boleh menyatukan semua orang tetapi itu tidak memadai dengan Dasar Ekonomi Baru dan ia tersasar.

Saya ingat Dr Mahathir hendak hidupkannya semula kerana beliau dulu menteri pendidikan. Tetapi beliau ada harapan tinggi pada Dr Maszlee Malik.

Beliau awalnya kata hendak jadi menteri pendidikan tetapi saya gembira beliau tidak jadi kerana beliau ini boleh jadi sangat degil.

Kalau sudah buat keputusan, susah untuk ubah fikirannya. Elok biar orang lain, walau tak elok pun, semua orang boleh berikan komen dan kritikan untuk membetulkannya. – 6 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen