LEMBAGA pengarah Khazanah Nasional Bhd telah menyemak cadangan penggabungan mega antara Axiata Group Bhd dan Telenor Axiata Group Bhd, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
“Ia telah dibincangkan oleh lembaga,” kata Azmin, yang juga merupakan ahli lembaga pengarah.
Axiata adalah antara syarikat di mana dana awam mempunyai pegangan majoriti pemilikan sahamnya.
Khazanah memegang 37.16% kepentingan dalam syarikat Axiata.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata kerajaan sedang menunggu jawapan kedua-dua syarikat tersebut bagi menjelaskan butiran-butiran penggabungan sebelum sebuah laporan disampaikan kepada Putrajaya.
“Dalam situasi ini terdapat banyak perkara yang perlu kita teliti dan ada butiran untuk dibaiki dan dibincangkan sebelum cadangan tersebut dimuktamadkan.
“Kami akan melihat cadangan akhir dan mengeluarkan kenyataan berdasarkan cadangan tersebut,” katanya.
Mengenai kebimbangan sama ada penggabungan itu akan mengakibatkan kakitangan kehilangan pekerjaan, Gobind berkata kerajaan akan meneliti kebimbangan tersebut dan memastikan ia dapat ditangani.
Telenor Asia akan memegang saham 56.5% dan Axiata pula memiliki baki sahamnya setelah syarikat tersebut digabungkan. Pembahagian saham adalah berdasarkan penilaian aset.
Penggabungan syarikat induk Celcom dan Digi akan melahirkan sebuaah syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia.
Penggabungan raksasa itu juga akan menyatukan perniagaan serantau Axiata dan Telenor Asia, kecuali Bangladesh, di mana kedua-dua syarikat mempunyai kepentingan di sana.
Berikutan penyatuan itu, kedua-dua syarikat akan mempunyai akses kepada asas pelanggan berjumlah sekurang-kurangnya 300 juta di sembilan buah negara. Axiata kini mempunyai rangkaian dalam enam daripada sembilan pasaran sementara Telenor mempunyai tiga rangkaian. – 5 Jun, 2019.
Komen