PAKATAN Harapan perlu berjuang mendapatkan sokongan pengundi luar bandar di Sabah dan Sarawak, kata penyokong pembangkang yang hadir pada ceramah malam tadi, dan menganggap program politik di bandar besar seperti Kuching hanya seperti “berdakwah kepada mereka yang sudah bertaubat”.
Ceramah pertama PH, “New Deal, New Hope” di Kuching malam tadi berjaya menarik jumlah pengunjung besar, yang bersorak bersetuju dengan pemimpin pembangkang seperti Lim Kit Siang daripada DAP dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Seperti kebanyakan hadirin yang datang, Petrus Igai, seorang juruteknik radio berkata dia yakin Perdana Menteri Najib Razak perlu disingkirkan daripada kuasa.
Namun, katanya sekadar meyakinkan warga bandar sepertinya tidak akan dapat membantu PH mencapai sasarannya.
“PH adakan ceramah ini di kawasan bandar dan berkobar-kobar beritahu penyokong kenapa perlu singkirkan Najib, hanya seperti berdakwah kepada orang yang sudah bertaubat.
“Mereka sudah buat keputusan pun,” kata Petrus merujuk kepada kira-kira 2,000 hadirin yang datang malam tadi.
“Perjuangan sebenar untuk PH ialah di kawasan luar bandar.”
Daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Sarawak dalam pilihan raya umum lalu, pembangkang hanya menang enam dan semuanya di kawasan bandar, majoriti Cina.
Kerusi itu ialah Bandar Kuching, Stampin, Lanang, Bandar Sibu, Sarikei yang dimenangi DAP dan Miri ditawan oleh PKR.
Petrus berkata selagi PH tidak boleh masuk ke kawasan luar bandar, hanya warga bandar di Sarawak yang akan bersungguh untuk menyingkirkan Najib.
“Dan itu tidak akan membantu perjuangan PH,” katanya.
Lokasi yang dipilih bagi ceramah pertama PH semalam ialah Stampin, kubu kuat DAP.
Penyokong PH Nawawi Saadi percaya pembangkang berpeluang untuk menyingkirkan Najib, tetapi berkata mesej masih belum sampai kepada penyokong tegar BN.
Katanya, kebanyakan Melayu di kawasan separa bandar di Kuching dan Dayak di rumah panjang di pedalaman masih setia kepada parti diasaskan di Sarawak seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang terdiri daripada parti komponen BN.
“Ia mungkin sukar, tetapi tidak mustahil,” kata jurutera awam itu berhubung impian PH untuk menewaskan BN.
Katanya, peluang untuk kemenangan PH di Borneo akan bertambah jika parti berasaskan Sarawak dalam BN mahu menyertai gabungan pembangkang.
“Saya ada dengar cakap-cakap mengenainya dan saya harap ia jadi realiti,” katanya.
Majoriti yang datang pada ceramah malam tadi, seperti dijangkakan ternanti-nanti untuk mendengar ucapan Dr Mahathir dan pemimpin PH lain.
Hujan lebat yang melanda semalam tidak melemahkan semangat dan keterujaan Halimaton Ismail untuk “bertemu idola saya”, katanya kepada The Malaysian Insight, merujuk kepada Dr Mahathir.
“Saya datang hanya untuk Dr Mahathir,” kata suri rumah itu, yang memandu 16km dari rumahnya di Kampung Semariang di Petra Jaya untuk ke kawasan perumahan kelas pertengahan di Taman BDC berhampiran lapangan terbang antarabangsa Kuching.
Dia tidak kecewa. Dr Mahathir, yang menjadi senjata paling ampuh bagi pembangkang untuk menyingkirkan Najib, sangat bersemangat semalam dalam mengajak khalayak mengakhiri pemerintahan BN.
“Ya, masih ada harapan. Najib perlu disingkirkan. Apa yang saya dengar malam ini meyakinkan saya,” kata Halimaton yang datang bersama suami, kakak ipar dan saudara lain.
“Semua yang dia kata, Najib curi duit rakyat, dari 1MDB dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). Semua itu meyakinkan saya yang Najib perlu disingkirkan.” – 25 September, 2017.
Komen