PENGUNDI di Borneo perlu memainkan peranan memberikan Pakatan Harapan (PH) majoriti dua pertiga pada PRU14 jika mahu memansuhkan undang-undang persekutuan sedia ada yang melanggar hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang malam tadi berkata 40 kerusi dari Borneo akan memberikan majoriti jelas bagi kerajaan PH dalam Parlimen dan membolehkan gabungan itu memberi “rundingan baharu” yang diingini rakyat dua negeri Borneo itu.
Lim berkata demikian di depan khalayak yang meredah hujan lebat untuk menghadiri ceramah pemimpin PH yang pertama di Sarawak dalam himpunan “Perjanjian Baharu, Harapan Baharu” di kubu kuat DAP, di Stampin, Kuching.
Terdapat 56 kerusi di kedua-dua negeri itu – 31 di Sarawak dan 25 di Sabah.
Terdahulu, Lim dalam blognya menulis mengenai formula 10 dan 5, di mana peralihan 10% menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) oleh pengundi Melayu dan 5% bukan Melayu sudah cukup untuk membolehkan PH menang 113 daripada 165 kerusi Parlimen – atau 68% kerusi di semenanjung Malaysia.
Beliau berkata jika pengundi Borneo boleh memberi 40 kerusi pada PH, gabungan itu akan mempunyai keseluruhan 153, lebih daripada 149 dalam 222 kerusi di Parlimen yang diperlukan untuk mendapatkan majoriti dua pertiga.
“113 belum cukup baik jika kita hendak rundingan baharu.”
Aktivis dan ahli politik pembangkang di Sabah dan Sarawak sudah lama mengecam undang-undang persekutuan yang dianggap melanggar MA63, perjanjian yang menjadi asas pembentukan Malaysia pada 1963.
Malam tadi, Lim berkata kerajaan PH akan memansuhkan sekurang-kurangnya dua undang-undang seumpama itu – Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Pembangunan Petroleum 1974.
Sudah lama Sarawak dan Sabah berkata Akta Pelantar Benua, yang memaksa dua negeri itu menyerahkan hak mereka terhadap 200 batu Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) kepada kerajaan pusat memberikan ia hak untuk merampas kekayaan sumber minyak dan gas mereka.
Akta itu juga mengurangkan sempadan laut dua negeri itu dari 12 batu kepada tiga, bermakna Sabah dan Sarawak kini hanya layak untuk meneroka minyak dan gas serta sumber asli lain dalam jarak tiga batu dari pesisiran pantainya.
Perolehan minyak dan gas dari had 200 batu diserahkan kepada kerajaan persekutuan, sementara pendapatan dari had tiga batu kepada kerajaan negeri.
Tidak ada sumber besar minyak dan gas dalam jarak had tiga batu atau di kawasan berhampiran darat, sama ada di Sarawak atau Sabah.
Kedua-dua negeri itu berkata perubahan terhadap sempadan laut juga melanggar MA63, dakwaan yang disokong oleh pasukan penyelidik undang-undang Sarawak susulan lawatan mereka ke London baru-baru ini.
Terdahulu, Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya berkata kerajaan pusat sebelum dan selepasnya menggunakan Parlimen, di mana ahli politik dari semenanjung adalah majoriti, untuk menolak semua perkara utama dalam MA63.
Dr Mahathir yang berucap kali pertama di Sarawak sebagai ketua pembangkang berkata, perundangan “dibahaskan dan diluluskan tanpa sebarang pertimbangan terhadap perasaan” rakyat Sabah dan Sarawak.
“Kita diperintah oleh Parlimen, di mana ahli Parlimen dari Malaya lebih ramai dari Sarawak dan Sabah,” katanya.
Pada pilihan raya umum lalu, BN Sarawak menang 25 daripada 31 kerusi sementara BN Sabah menang 22 daripada 25 kerusi.
Tetapi, Lim berkata beliau optimis yang pengundi di Sarawak dan Sabah boleh beri mereka kerusi itu.
“Sarawak tidak akan lagi jadi deposit tetap untuk BN tetapi kunci perubahan bagi PH,” katanya merujuk kepada BN di Sabah dan Sarawak menang hampir semua 56 kerusi di negeri itu walaupun sokongan terhadap BN menurun di semenanjung.
Lim juga menolak kecaman Perdana Menteri Najib Razak yang mengatakan hubungan parti dalam pembangkang satu bahan ketawa.
Najib semalam berkata ia hanya bahan lawak, dan perkahwinan kontrak yang dibentuk berdasarkan kepada falsafah Niccolo Machiavelli.
Najib juga berkata beliau percaya impian Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim, saling berbeza.
“Dia salah,” kata Lim.
“Kita semua mempunyai impian yang sama iaitu menggulingkan Najib, menyingkirkan Umno dan kerajaan BN.” – 25 September, 2017.
Komen