KEMENTERIAN Pengangkutan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat mengenai status terkini kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), yang dikatakan hanya empat unit yang berfungsi daripada keseluruhan 45 yang ada di seluruh negara.
Menterinya Anthony Loke dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi selepas cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Nanti saya keluarkan kenyataan. Hari ini hari raya. Selepas raya saya keluarkan kenyataan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Loke ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini.
The Malaysian Insight hari ini melaporkan 41 kamera di jalan raya dan lebuh raya tidak berfungsi kerana tidak diselenggara selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil alih operasinya sejak September tahun lalu.
AWAS ialah sistem penguatkuasaan lalu lintas yang menggabungkan kamera pemantau Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dengan sistem mata demerit kesalahan jalan raya (Kejara), yang digabungkan sejak April 2017.
Maklumat ini bagaimanapun dikatakan tidak diangkat oleh JPJ ke pengetahuan Loke, bimbang ia akan mencetuskan kemarahan beliau.
Sementara itu, sumber memberitahu The Malaysian Insight, kementerian sudah maklum mengenai isu itu sejak Pakatan Harapan mengalih kerajaan daripada pentadbiran Barisan Nasional setahun yang lalu.
“Perbincangan mengenai isu itu sedang dijalankan namun belum ada kata putusnya sama ada kamera yang rosak itu perlu diganti baru atau diperbaiki,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sama ada ganti atau baiki, kedua-duanya membabitkan kos yang tinggi dan kerana itu pihak yang berkenaan mengambil masa untuk membuat keputusan, tambah sumber.
The Malaysian Insight difahamkan kamera yang masih berfungsi ialah di KM 17 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan tiga lagi di Lebuhraya Pantai Timur.
Kamera lain yang tidak boleh berfungsi masih ada di tempat asalnya tetapi tidak boleh merakamkan gambar, tambah sumber.
The Malaysian Insight juga difahamkan ada kamera yang sudah lapan bulan rosak selepas dilanggar treler di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Ayer Keroh, Melaka.
Pada Mac lalu, Loke memberitahu Dewan Rakyat daripada 45 kamera yang ada, 29 adalah kamera peraturan had laju dan 16 kamera peraturan lampu isyarat.
JPJ mengambil alih sepenuhnya operasi, pembangunan, penyelenggaraan dan penguatkuasaan sistem berkenaan selepas perjanjian konsesi sebelum ini tamat pada 31 Ogos 2018.
Pada 17 Ogos sebelumnya, kerajaan membatalkan semua saman yang belum berbayar yang dikeluarkan di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Saman bernilai RM435 juta itu dibatalkan kerana penjanjian berat sebelah antara kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dengan dua syarikat konsesi pengendali sistem, Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn.
Menurut Loke, di bawah perjanjian itu kerajaan tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada kutipan saman sebaliknya ia dibayar sepenuhnya kepada dua syarikat konsesi tersebut. – 5 Jun, 2019.
Komen