Mencari signifikasi Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM


PENGUMUMAN oleh Pejabat Perdana Menteri bahawa Latheefa Koya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mencetuskan pelbagai polemik dan konflik dalam kalangan tokoh parti dan pemerhati politik negara.

Latheefa diberi mandat sejak 1 Jun 2019 yang lepas untuk memegang portfolio ini setelah Mohd Shukri Abdull memohon perkhidmatan kontraknya dipendekkan lebih awal.

Atas sebab apa? Kita tidak tahu menahu.

Saya tidak menafikan sikap kelantangan Latheefa dalam karier politik dan guamannya. Latheefa merupakan peguam dan pengarah Lawyers for Liberty, bersuara mengenai isu hak asasi manusia serta mengkritik dakwaan kronisme dan nepotisme dalam partinya iaitu Parti Keadilan Rakyat.

Difahamkan perlantikan Latheefa adalah sebagai pemudahcara untuk menyelesaikan isu RM2.6 bilion, 1MDB dan SRC International. Namun adakah semata-mata dengan rasional itu sahaja? Fikirkanlah.

Saya berpandangan ada beberapa persoalan yang harus kita renung dan muhasabah sejenak berhubung pelantikan ini.

Pelantikan ini sah bertentangan dengan Janji 14 Manifesto Pakatan Harapan berkaitan Reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan memperkukuh usaha membanteras rasuah iaitu pelantikan Pesuruhjaya SPRM perlu disahkan secara demokratik oleh Parlimen.

Keputusan pelantikan ini terus sahaja melalui Pejabat Perdana Menteri bukan melalui Parlimen.

Ia jelas membungkam aspirasi Pakatan Harapan yang sepatutnya peka dengan hal-hal seperti ini.

Ia sepatutnya melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pelantikan Awam Utama.

Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk pelantikan seumpama ini demi memastikan ada ketelusan yang baik dalam hal pelantikan yang utama.

Selain itu, lantikan Latheefa juga jelas tidak selaras dengan Janji 21 Manifesto Pakatan Harapan dalam memperkasa perkhidmatan awam.

Kepercayaan dan penghormatan yang lebih tinggi patut diberikan kepada pegawai-pegawai kerajaan yang pastinya lebih arif mengenai selok-belok urus tadbir SPRM berbanding orang luar.

Walaupun beliau pernah berkhidmat sebagai seorang peguambela  tetapi beliau tidak berpengalaman mengendalikan hal pendakwaan tadbir urus berkaitan agensi kerajaan. Ia wajar dipersoalkan secara tuntas.

Saya tiada masalah jawatan itu disandang oleh wanita, tetapi saya melihat kita punyai ramai figura lain yang boleh dilibat sama dalam pemerkasaan reformasi institusi. Kita tidak perlukan orang politik sebegini.

Saya merasakan Latheefa wajar untuk undur diri. – 5 Jun, 2019.

* Luthfi Yusri, editor Nada Mahasiswa Malaysia, mahasiswa Universiti Malaya

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen