SULTAN Muhammad V Kelantan menyambut kelahiran anak sulungnya, seorang putera, pada 21 Mei lalu, hasil perkahwinan dengan bekas ratu cantik dari Rusia, Oksana Voevodina, lapor akhbar UK Daily Mail.
Putera itu yang dinamakan Tengku Ismail Leon Petra Bin Tengku Muhammad V Faris Petra, diumumkan Voevodina menerusi akaun Instagram menggunakan nama Rihana Oksana Petra yang digunakannya selepas berkahwin.
Voevodina memuat naik gambar berserta kapsyen: “Semua yang diberitahu kepada saya tentang perubahan yang berlaku kepada wanita selepas bayinya lahir adalah benar. Cinta yang istimewa. Perasaan yang sangat baharu. Saya berterima kasih kepada Allah dan suami saya untuk anak lelaki saya. Sekarang, kami bertiga.”
Bekas model berusia 25 tahun dan Sultan Muhammad V meraikan perkahwinan mereka dalam majlis penuh meriah di Moscow pada November lepas, ketika baginda masih Yang Di-Pertuan Agong ke-15.
Baginda menjadi Agong pada Disember 2016 sebelum berundur pada Januari tahun ini, selepas berita dan gambar perkahwinannya terbongkar dan tular.
Daily Mail juga melaporkan Voevodina sebagai berkata yang “ulang tahun sebenar” perkahwinan dengan Sultan Muhammad V adalah Jumaat ini, kerana mereka sudah menikah dalam majlis Islam lima bulan sebelum persandingan terbuka pada November.
Dalam akaun Instagramnya, yang baharu mempunyai tujuh keping gambar, Voevodina juga memuatnaik gambarnya ketika hamil, yang menurutnya masa terpenting dan tersukar dalam hidupnya.
Katanya lagi, kehamilan itu sukar dan tiga bulan terakhir Voevodina menghabiskan masa tinggal di hospital. – 4 Jun, 2019.
Komen