Misi sudah selesai, kata Shukri Abdull


Kalidevi Mogan Kumarappa

Mohd Shukri Abdull berundur daripada SPRM, menyifatkan misinya sudah selesai. – Gambar Facebook, 4 Jun, 2019.

MOHD Shukri Abdull menjelaskan beliau memohon bersara awal daripada mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tugasnya sudah selesai.

Dalam mesej ringkas kepada The Malaysian Insight, Shukri berkata beliau sudah meletakkan agensi anti rasuah itu di landasan yang betul sepanjang merajuinya.

Shukri yang bersara pada Oktober 2016 dilantik semula mengetuai SPRM selepas Pakatan Harapan menyingkirkan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei tahun lepas.

“Misi sudah tercapai.Saya sudah letakkan SPRM di landasan yang betul.

“Semua pegawai bersatu (dalam memerangi rasuah) dan sokongan orang ramai juga padu,” katanya, menjawab pertanya apa alasannya berundur lebih awal.

Mandat pelantikan Shukri sepatutnya berakhir 17 Mei tahun depan.

The Malaysian Insight difahamkan Shukri sudah bercuti sejak 23 Mei lalu, sebelum persaraannya disahkan melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri awal petang tadi.

Sumber memberitahu Shukri bercuti untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelantikan peguam Latheefa Koya sebagai pengganti Shukri.

Shukri bagaimanapun enggan mengulas pelantikan penggantinya itu.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri menyebut Latheefa dilantik berkuat kuasa 1 Jun bagi tempoh dua tahun sehingga Mei 2021.

Shukri berkhidmat dalam agensi anti rasuah selama 32 tahun sebelum bersara sebagai timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) pada Oktober 2016.

Persaraan pada masa itu Shukri dibayangi kontroversi kerana terkait dengan beberapa tindakan pentadbiran Najib Razak ke atas pasukan penyiasat yang menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Julai 2015.

Shukri pada masa itu juga dituduh oleh pemimpin Umno berkomplot dengan bekas gabenor Bank Negara Zeti Aziz dan bekas peguam negara Abdul Gani Patail untuk menjatuhkan Najib. – 4 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen