Imarahkan masjid bukan rumah agama lain


RAMADAN bukan sahaja bulan yang menyeru kepada kebaikan dan penggandaan ibadah. Tetapi juga bulan yang menyeru pengimarahan masjid dan menyaksikan penurunan Al-Quranul Karim, yang tema utamanya adalah ketauhidan kepada Allah SWT.

Mesej utama Al-Quran ini bukan sahaja harus dibaca berulang-ulang. Tetapi mestilah difahami, dihayati dan diamalkan dengan bersungguh-sungguh.

Ia memberi peringatan bahawa Islam adalah agama yang menyediakan cara hidup suci dan sempurna. Sekali gus mengingatkan orang Islam untuk tidak tergelincir dan sesekali menerima sama ada secara langsung atau tidak langsung agama lain sebagai cara hidup. Apatah lagi mengiktiraf dan melazimkan kehadiran tuhan dan ajaran agama lain dengan mencampur adukkannya dalam amalan agama Islam. Ia sangat ditegah.

Kita mesti memahami bahawa menghormati agama lain adalah berbeza sama sekali dengan menyertai dan melibatkan mereka secara langsung dalam amalan agama Islam.

Yang dimaksudkan dengan menghormati agama lain ialah tidak bercakap buruk tentang mereka, memberi mereka ruang untuk melaksanakan anutan kepercayaan mereka tanpa sekatan apa jua dan tidak memberi kemudaratan kepada mereka. Ini memang dituntut.

Benarlah titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, sebagai ketua agama di Negeri Johor, bahawa mencampuradukkan amalan dan tradisi agama kita dengan sambutan meraikan semangat muhibah di rumah agama adalah sesuatu yang janggal dan menjurus kepada fitnah.

Nasihat baginda, walaupun bukan fatwa, tetapi mempunyai kebijaksanaan yang gagal di fahami oleh kesemua pemimpin PKR termasuk ahli Parlimen Pasir Gudang.

Justeru, dalam keghairahan dan kreativiti politik untuk membudayakan muhibah antara agama, pemimpin PKR seperti Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim harus berhati-hati agar tidak sampai dilihat mengajak orang Islam untuk membiasakan diri dengan amalan yang tidak pernah menjadi amalan dan anutan dalam menyempurnakan ibadah Islam.

Pada saya ini adalah perkara yang kurang diperhalusi dalam keseluruhan episod tindakan Ahli Parlimen Johor Bahru yang menganjurkan majlis iftar Ramadhan di Kuil Sikh Gurdwara Sahib, Johor Bahru baru-baru ini.

Sekalipun beliau mahu mengajak orang Islam beramai-ramai masuk dan menghadiri kuil agama lain dan mempromosikan amalan “muhibah”, beliau tidak seharusnya mengetepikan tuntutan agama kita, khususnya pada bulan Ramadhan yang menyeru kepada pengimarahan masjid, bukannya rumah ibadat agama lain.

Jika pada hari ini, agama lain dengan terbuka bersedia menerima dan meraikan aktiviti berunsur ketuhanan dan keagamaan Islam di rumah ibadat mereka, adakah Ahli Parlimen Johor Bahru bersedia misalnya, memberi ruang sambutan Krismas atau Thaipusam atau apa-apa acara berunsur ketuhanan dan keagamaan di masjid pada suatu hari nanti? Walaupun atas dasar memupuk muhibah!

Perkara sebegini akan membuka satu “precedence” dan jalan rintis yang, sekalipun niatnya mungkin baik, tetapi sangat mudah untuk disalah tafsir, dimanipulasi dan disalahgunakan.

Ingatlah, urusan agama kita adalah urusan kita dan bukan urusan penganut agama lain. Begitu juga urusan agama lain, adalah urusan penganutnya dan kita tidak sama sekali mencampuri tetapi wajib menghormati.

Yang jelas, meraikan iftar di rumah agama lain seperti yang berlaku di Johor Bahru, tidak langsung mencapai semangat muhibahnya. Malah ia telah nyata menjadi fitnah dan menyinggung nurani umat Islam yang rata-ratanya konservatif.

Saya seru Ahli Parlimen Johor Bahru dan Pasir Gudang yang juga Pengerusi PKR Johor untuk meneliti kembali pandangan mereka yang arif dan ahli berhubung perkara ini. Termasuklah pandangan oleh mufti-mufti. – 4 Jun, 2019.

* Mohamed Khaled Nordin adalah naib presiden Umno dan bekas menteri besar Johor.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen