Wee Ka Siong cuba alih perhatian skandal korupsi BN


TINDAKAN Presiden MCA Dr Wee Ka Siong menempelak Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkenaan penguasaan Bahasa Inggeris dalam 18th IISS Asia Security Summit shangri-La Dialogue (SLD) adalah cubaan untuk mengalih perhatian rakyat terhadap skandal korupsi pemimpin kleptokrat Barisan Nasional antaranya mantan Perdana Menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor, Presiden Umno Zahid Hamidi dan ramai lagi yang sedang berhadapan berpuluh pertuduhan di mahkamah.

Walaupun penguasaan Bahasa Inggeris penting sebagai medium komunikasi antarabangsa, namun ia bukanlah ukuran kompetensi dan kebijaksanaan seorang pemimpin kerana ramai juga pemimpin utama negara lain yang masih mengekalkan bahasa ibunda masing-masing di dalam dialog atau persidangan antarabangsa.

Keberanian Mohamad Sabu untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris di dalam sesi penting seperti dialog antarabangsa berkenaan isu keselamatan hendaklah dilihat dari sudut positif bahawa Malaysia mempunyai pendirian tegas memerangi ancaman keganasan atau terrorism. 

Rakyat perlu menilai intipati asas ucapan Mohamad Sabu dan bukannya kekhilafan yang langsung tidak mencacatkan substance ucapan beliau. Jika didengar semula ucapan Mohamad Sabu, beliau merujuk Perdana Menteri New Zealand sebagai ‘she’, namun di penghujung ayat menggunakan perkataan ‘him’ yang tidak mengubah intipati ucapan beliau yang tahu bahawa Perdana Menteri New Zealand adalah seorang wanita.

Di samping itu, penggunaan perkataan ‘mother’ dan ‘father’ adalah merujuk kepada penaja pengganas yang merupakan terma biasa digunakan dalam counter-terrorism. Perkataan tersebut tidak seharusnya diterjemah secara literal. 

Justeru, rakyat perlu positif untuk bersama kerajaan Pakatan Harapan yang diangkat atas suara keramat mahukan perubahan dilakukan. Perubahan asas yang sedang dilakukan kerajaan hari ini adalah memerangi rasuah dan korupsi dan usaha inilah yang menakutkan pemimpin Barisan Nasional.

Ini adalah kerana korupsi yang dilakukan oleh pemimpin Barisan Nasional adalah berskala besar yang melibatkan kehilangan wang berbilion ringgit seperti skandal 1MDB, Felda, Tabung Haji dan banyak lagi institusi dana awam lain.

Selain itu, skandal mega ini menyebabkan negara hari ini berhutang lebih RM1 trillion dan kerajaan Pakatan Harapan adalah dalam usaha mengurangkan hutang negara kepada 54 peratus bagi memulihkan ekonomi negara dan seterusnya mengurangkan beban kos sara hidup.

Jangan kita lupa kepada ucapan Peguam Negara Amerika Syarikat Jeff Sessions “1MDB scandal is kleptocracy at its worst’ yang menjadi mimpi ngeri kepada pemimpin Barisan Nasional yang sedang dibongkarkan pihak berkuasa. – 4 Jun, 2019

* Faiz Fadzil merupakan Timbalan Ketua Pemuda Amanah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen