SEORANG anggota militan Kumpulan Islam Syria dan Iraq (IS) warga Singapura muncul dalam sebuah video mencabar Putera Harry dari Britain untuk menentang militan Islam, lapor kumpulan pemantau dan pihak berkuasa hari ini.
Dipercayai itulah kali pertama anggota IS yang berasal dari republik itu muncul dalam video IS.
Dalam sebuah video berbahasa Inggeris dikeluarkan pada Sabtu, seorang lelaki dikenali sebagai “Abu ‘Uqayl” dari Singapura mencabar Putera Harry kerana bercakap mengenai serangan pengganas di London ketika melawat Singapura pada Jun lalu.
“Apa kata anda datang ke sini dan melawan kami jika anda cukup jantan, supaya kami boleh hantar anda ke neraka?” katanya dalam sebuah video yang disebarkan oleh Site Intelligence Group.
Putera Harry pernah berkhidmat dalam tentera Britain dan menerbangkan helikopter Apache di Afghanistan.
Lawatan diraja ke negara itu pada Jun dibayangi dengan serangan pengganas IS di London.
Serangan itu menyaksikan beberapa lelaki bersenjata parang menikam pengunjung pada waktu malam, membunuh tujuh orang sebelum ditembak mati polis.
Kementerian Dalam Negeri Singapura percaya yang lelaki dalam video itu adalah rakyat Singapura.
“Agensi keselamatan kami sudah menyedari kewujudan seorang rakyat Singapura, Megat Shahdan bin Abdul Samad, 39, di Syria dan sudah memantau aktivitinya,” kata kementerian dalam satu kenyataan.
“Dipercayai yang lelaki dalam video yang menggelarkan dirinya ‘Abu Uqayl’ ialah Shahdan.”
Pemimpin Singapura berulang kali memberi amaran yang negara itu menjadi sasaran utama pengganas kerana pendirian tegasnya menentang keganasan dan reputasinya sebagai pusat kewangan serantau. – AFP, 24 September, 2017.
Komen