BANGLADESH mengharamkan syarikat telekomunikasi menjual telefon bimbit kepada pelarian Rohingya, memetik kebimbangan keselamatan atas halangan itu, kata pegawai hari ini.
Empat penyedia telefon bimbit Bangladesh bakal berdepan hukuman denda sekiranya mereka menyediakan pelan telefon kepada mana-mana 430,000 pelarian yang baru tiba dari Myanmar ketika sekatan itu dikuatkuasakan.
“Buat ketika ini, mereka (Rohingya) tidak boleh membeli kad dim,” kata pegawai kanan kementerian telekomunikasi, Enayet Hossain kepada AFP.
Keputusan yang dikeluarkan Sabtu itu mengenakan sekatan komunikasi kepada minoriti Islam tanpa warganegara atas alasan keselamatan, kata Menteri Muda Telekomunikasi Tarana Halim.
Bangladesh sudah mengharamkan penjualan kad sim kepada rakyatnya yang tidak memberikan kad pengenalan rasmi, dalam usaha mengawal perkembangan militan di negara itu.
“Kami menerima Rohingya atas dasar kemanusiaan tetapi pada masa yang sama keselamatan kami tidak boleh digadaikan,” kata Halim tanpa menjelaskan lanjut mengenai alasan keselamatan itu.
Pihak berkuasa telekomunikasi Bangladesh mengatakan yang sekatan itu boleh dibatalkan sebaik sahaja kad pengenalan biometrik dikeluarkan kepada pelarian yang baru tiba, proses menurut tentera boleh mengambil masa enam bulan.
Ia adalah sekatan terbaru dikenakan ke atas Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di Rakhine memasuki kem pelarian yang sesak di Cox’s Bazar di Bangladesh sejak empat minggu lalu.
Hampir 430,000 pelarian itu dikawal tentera dalam kem yang dibina di sepanjang sempadan, dan puluhan ribu daripada mereka terpaksa tinggal tanpa khemah perlindungan.
Ramai juga yang diusir daripada tinggal di dalam hutan oleh polis dan tentera yang diarahkan untuk menghalang Rohingya daripada mencari perlindungan di bandar besar dan pekan berhampiran.
Sekatan jalan raya juga dibina di sepanjang laluan utama kawasan pelarian itu, dan kekurangan makanan, air, tempat tinggal dan tandas mencetuskan krisis kemanusiaan.
Sejumlah 5,100 pelarian sudah ditahan di sekatan itu dan dihantar balik ke dalam kawasan kem pelarian, kata polis.
“Kami wujudkan 11 pusat kawalan di seluruh Cox’s Bazar bagi menghalang pelarian Rohingya daripada bergerak lebih jauh,” kata Ketua Polis Cox’s Bazar Iqbal Hossain kepada wartawan. – AFP, 24 September, 2017.
Komen