Lebih 600,000 tandatangan petisyen desak Uber dibenarkan beroperasi di London


LEBIH 600,000 orang menandatangani petisyen hari ini meminta pihak berkuasa pengangkutan London menarik balik keputusan mereka untuk tidak memperbaharui lesen Uber apabila tamat kelak.

Keputusan pada Jumaat lalu untuk mengharamkan perkhidmatan aplikasi perkongsian pengangkutan itu “menjejaskan kehidupan ramai pemandu yang bekerja keras dan jujur” dan akan “memberi gambaran kepada dunia yang London tidak terbuka dan tertutup kepada syarikat yang berinovasi,” kata petisyen itu.

Pihak berkuasa London berkata amalan Uber yang kini menggaji hampir 40,000 pemandu dan digunakan 3.5 juta pelanggan di ibu kota Britain itu menimbulkan masalah keselamatan.

“TfL telah menyimpulan yang Uber London Limited tidak layak dan tidak sesuai memegang lesen operator pemandu persendirian,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu turut menyebut yang “amalan dan pendekatan Uber menunjukkan kekurangan tanggungjawab korporat berkaitan dengan beberapa isu yang berpotensi menjejaskan keselamatan awam”, memetik kebimbangan tentang prosedur semakan latar belakang pemandu.

Petisyen itu yang menggunakan platform change.org berkata Uber menyediakan “pemanduan yang selamat, boleh diharap dan mampu milik”, dan penggunanya “terkejut” dengan pengharaman itu.

“Dengan mahukan aplikasi itu diharamkan di bandar ini, Transport for London dan pengerusi, serta datuk bandar menyerah kepada sekelompok kecil orang yang mahu menghadkan pilihan pengguna,” tambahnya.

Lesen Uber dijangka tamat pada 30 September tetapi Uber mempunyai tempoh 21 hari untuk merayu dan sudah mengatakan rancangannya untuk mencabar penarikan lesen itu..

Pemimpin Parti Buruh Jeremy Corbyn dilaporkan berkata semalam yang beliau menyokong tindakan Datuk Bandar London Sadiq Khan dan memberitahu Sky News yang pihak berkuasa membuat “perkara yang betul”.

“Jelas sekali yang rakyat perlu mampu untuk bergerak, jelas juga mereka mahukan akses kepada teksi.

“Teksi itu perlulah selamat, dikawal selia dan tersedia untuk semua,” katanya.  – AFP, 24 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen