BEKAS perdana menteri yang kini merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad dan ahli politik veteran DAP, Lim Kit Siang tidak berdepan masalah untuk melepasi pusat imigresen Sarawak apabila mereka tiba hari ini untuk ceramah pertama PH di negeri itu.
Sebelum ini wujud kebimbangan yang mereka juga akan menerima nasib sama seperti Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian yang dihalang masuk ke negeri itu semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sepetang Chua Chee Ling pula yang menaiki penerbangan sama dengan Zuraida dan Hee pada mulanya dibenarkan masuk tetapi kemudiannya “diambil” pada majlis jana dana Berlian Merah Jambu malam itu dan diiring ke lapangan terbang sebelum diusir balik.
Chua diletakkan dalam penerbangan terakhir Air Asia ke Kuala Lumpur.
Dr Mahathir yang nampaknya tidak menyedari halangan kemasukan kepada wakil rakyat PKR itu bagaimanapun secara sinis berkata halangan itu menunjukkan “Sarawak sangat bebas”.
“Awak (rakyat Sarawak) nampaknya ada pasport sendiri.”
Pada sidang media sebaik tiba, Dr Mahathir berkata PH akan menyemak kembali Perjanjian Malaysia 1963 dan “mencari perkara yang tidak menggembirakan Sarawak dan Sabah” sekiranya PH berjaya merampas Putrajaya.
Katanya, PH akan meneliti permintaan negeri berkaitan kawalan minyak dan gas serta bidang pendidikan.
“Kami akan teliti dengan fikiran terbuka.”
Sarawak kini sedang berbincang dengan Putrajay mengenai pengembalian hak kepada Sarawak yang sudah dirampas dari negeri itu selama 54 tahun.
Semalam, Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata beliau tidak akan mendedahkan kemajuan perincian perbincangan kerana ia masih berjalan.
“Saya akan beritahu pada masa yang sesuai,” katanya pada satu majlis awam yang diadakan di bandar bekas perlombongan emas, Bau ketika khabar angin kedengaran yang perbincangan itu sedang berdepan masalah. – 24 September, 2017.
Komen