PAS bukan parti wali, kata Husam


Mohd Farhan Darwis

Husam Musa berkata kerjasama antara Umno dan PAS tidak akan mengukuhkan dua parti itu sebaliknya akan menguburkan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2019.

PEMIMPIN dalam PAS bukannya wali tetapi hanya ahli politik biasa sama seperti pemimpin parti politik lain, kata Naib Presiden Amanah Husam Musa.

Apa yang membezakan mereka dengan pemimpin parti politik lain sebaliknya ialah pemimpin PAS menggunakan Islam, kata Husam dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia.

Bagaimanapun katanya pendirian PAS kini mengelirukan kerana sekarang ini sudah boleh pula menerima Parti Bersatu Sabah (PBS) yang sebelum ini dianggapnya parti Kristian.

“PAS sudah boleh menerima PBS yang dulu mereka anggap sebagai parti Kristian, timbul persoalan bagaimana PAS boleh terima PBS, adakah PBS boleh menerima Akta 355?

“Ini semua adalah kekaburan politik yang dibina untuk tujuan kuasa semata-mata.

“Kita tidak boleh ingat ingat dalam PAS semua itu wali, mereka adalah aktor-aktor politik macam orang lain juga cuma asaknya mereka menggunakan Islam manakala Umno menggunakan Melayu,” katanya, seperti dipetik Mingguan Malaysia.

Husam merujuk sokongan PAS kepada PBS dalam pilihan raya kecil Sandakan baru-baru ini.

Beliau menyifatkannya sebagai satu “kesilapan polisi” PAS – daripda tidak boleh berkompromi dengan pelbagai perkara, namun tiba-tiba menyatakan sokongan kepada PBS.

Husam adalah bekas naib presiden PAS antara 2011 dan 2015. Beliau dipecat dari parti Islam itu pada Mei 2016 atas dakwaan melanggar disiplin parti. Husam sebelum itu lantang mengkritik PAS dan kepimpinan presidennya Abdul Hadi Awang.

Jelas Husam, kerjasama antara Umno dan PAS tidak akan mengukuhkan dua parti itu sebaliknya akan menguburkan mereka.

Katanya, kekuatan Umno adalah menjadi parti arus perdana dan dilihat sebagai payung semua kaum dengan membawa pendekatan sederhana dan aliran tengah, namun apabila bersama PAS, parti itu sudah dilihat menjadi aliran kiri.

“Kerjasama Umno dan PAS mungkin kuat di beberapa kerusi dan undi mereka juga meningkat, di kerusi yang sememangnya dimiliki PAS dan Umno tetapi mereka tidak akan berjaya di kerusi lain,” kata Husam lagi.

Beliau bagaimanapun menolak kemungkinan ia petanda Pakatan Harapan (PH) sukar menembusi Pantai Timur.

“Belum tentu lagi, kerana orang Kelantan dan Terengganu melihat asas kerjasama PAS dan Umno satu kerjasama yang bertentangan dengan apa yang ditanam dan didoktrinkan dalam fikiran mereka sebelum ini.

“Jadi kesan tindak balas itu masih belum dapat dilihat, masa PRU lalu PAS sangat takut sekiranya ahlinya tahu mereka mempunyai kerjasama dengan Umno dan mereka nafikan sekeras-kerasnya.

“Kenapa mereka takut? Kerana mereka tahu ahli PAS akan bertindak balas dengan mengundi PH jadi gelombang tindak balas ini masih belum dapat kita lihat kerana PRU masih lambat lagi,” katanya lagi.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14, PH tidak mendapat sokongan yang diharapkan di dua negeri pantai timur itu apabila gagal menang sebarang kerusi pun di dewan undangan negeri Kelantan dan Terengganu. – 2 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen