Sorghum jalan keluar atasi import makanan, kata aktivis pertanian


Mohd Farhan Darwis

Sorghum yang berasal dari Afrika merupakan lima makanan bijirin utama dunia, selain jagung, gandum, padi, dan soya, dan dilaporkan lebih bermutu berbanding quinoa, yang popular sebagai superfood atau makanan berkhasiat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Jun, 2019.

SEORANG petani dan aktivis pertanian mencadangkan sorghum atau sekoi ditanam dengan meluas di Malaysia sebagai jalan keluar kepada masalah perbelanjaan import negara yang tinggi khusus untuk bahan makanan binatang ternakan.

Putrajaya sekarang ini membelanjakan purata RM50 bilion setahun untuk import makanan, termasuk bahan makanan binatang ternakan.

Apabila kos bahan makanan ternakan dapat dikurangkan, kerajaan juga akan dapat memecahkan rantaian kos tinggi untuk hasil daripada binatang ternakan, kata Mohd Faisal Idris.

Faisal kini sedang dalam fasa akhir melakukan kajian menanam sorghum hibrid untuk makanan ternakan di atas tanahnya seluas 1.5 hektar di Tanjong Karang, Selangor. 

Di atas tanah itu, beliau juga menguruskan ternakan kambing berjumlah kira-kira 250 ekor sejak dua tahun lalu. Beliau juga menghasilkan silaj, atau rumput peram daripada sorghum, untuk makanan utama ternakannya.

“Selain diproses sebagai bahan makanan untuk ternakan, bijirin sorghum boleh diproses menjadi tepung bebas gluten, manakala kandungan gulanya boleh diproses menjadi produk farmaseutikal. 

“Keseluruhan pohon sorghum juga boleh menjadi pemangkin sumber tenaga untuk penghasilan bioethanol” kata Faisal, dalam satu pertemuan dengan The Malaysian Insight di ladangnya, baru-baru ini.

Berdasarkan statistik rasmi, pada tahun lalu sahaja, import bahan makanan untuk ternakan Malaysia berjumlah RM5.8 bilion sementara bahan sama yang dieksport hanya RM1.9 bilion.

Jelas Faisal, sorghum pernah ditanam di Malaysia dan jadi makanan ternak yang diakui bermutu. Namun, tanaman itu lenyap tidak diusahakan lagi selama lebih 30 tahun dan baru sekarang sedang mula popular dalam kalangan penternak.

Petani dan aktivis pertanian, Mohd Faisal Idris kini sedang dalam fasa akhir melakukan kajian menanam sorghum hibrid untuk makanan ternakan di atas tanahnya seluas 1.5 hektar di Tanjong Karang, Selangor.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Jun, 2019.

“Kelebihan utama sorghum adalah ia bebas hampas. Setiap bahagian yang diproses boleh dijadikan makanan binatang ternakan melalui proses pemeraman atau dijadikan palet makanan haiwan.

“Apabila kita tukar tanaman sorghum untuk makanan haiwan ternakan daripada makanan komersial, ia bukan sahaja boleh selesaikan sebahagian masalah makanan ternakan, tetapi petani juga boleh menerima hasil pendapatan tambahan melalui tanaman ini,” katanya.

Sorghum yang berasal dari Afrika tumbuh meluas di seluruh dunia, dengan Amerika Syarikat sebagai pengeluar utamanya. Ia merupakan lima makanan bijirin utama dunia, selain jagung, gandum, padi, dan soya, dan dilaporkan lebih bermutu berbanding quinoa, yang popular sebagai superfood atau makanan berkhasiat.

Tumbuhan dalam kumpulan bijirin itu juga lebih mudah untuk ditanam disamping kos penyelenggaraan ladang, dan penggunaan air yang lebih rendah berbanding jagung dan tanaman lain.

Sorghum boleh dituai dalam masa yang singkat berbanding tanaman lain, iaitu antara 35 hingga 45 hari selepas ditanam selain tahan kemarau dan banjir.

Tambah pendapatan petani

Bekas penasihat kerajaan Daim Zainuddin baru-baru ini menyeru rakyat Malaysia untuk menyertai bidang pertanian dan menyifatkan pertanian adalah masa depan negara. 

Beliau menggesa semua pihak memodenkan bidang pertanian sebagai jalan untuk mengurangkan kos import makanan dan bahan makananan ternakan, selain pergantungan pada pekerja asing.

Putrajaya juga sudah mula memberikan tumpuan kepada bidang pertanian sebagai sumber pendapatan tambahan dan baru, susulan kejatuhan teruk harga komoditi getah dan kelapa sawit sehingga membebankan petani kecil.

Felda juga baru-baru ini memulakan projek perintis menggalakkan peneroka menanam tanaman yang mengeluarkan hasil lebih cepat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan sebagai sumber pendapatan baru.

Kelebihan utama sorghum adalah ia bebas hampas. Setiap bahagian yang diproses boleh dijadikan makanan binatang ternakan melalui proses pemeraman atau dijadikan palet makanan haiwan.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Jun, 2019.

Menurut Faisal, kajian beliau terhadap sorghum setakat ini yang dibuat bersama institusi pengajian tinggi dan agensi pertanian juga bertujuan untuk membantu petani menambahkan pendapatan mereka, dan meringankan kos sara hidup.

“Kita mahu pulihkan tanah yang tidak subur dan jadikan sorghum sebagai tanaman pilihan petani, yang mana sekurang-kurangnya boleh jadi pendapatan mereka.

“Setiap ekar sorghum mampu menghasilkan 20 tan tuaian. Andaikan setiap tan segar bernilai RM100, setiap satu ekar petani akan meraih pendapatan RM2,000, untuk setiap 40 hari,” katanya.

“Secara tidak langsung, ia akan selesaikan masalah sara hidup di kampung. Kalau petani ada lebih dari satu ekar, lebih banyak pendapatan mereka.”

Faisal bagaimanapun menjelaskan galakan untuk menanam sorghum bukan bertujuan menggantikan tanaman asas sebaliknya dijadikan sumber untuk tambahan pendapatan dan menebus guna tanah-tanah yang tidak subur dan terbiar.

“Kita tak suruh orang buang pokok tanaman asas mereka, tapi kita tanam di kawasan tanah rosak, kawasan tepi sungai, kaki bukit, dan kawasan yang tidak subur, kita boleh tanam,” katanya. – 2 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen