Salahuddin jumpa aktivis selepas raya, bincang masa depan pertanian


Mohd Farhan Darwis

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayubmerancang pertemuan itu selepas timbul cadangan daripada sekumpulan aktivis yang mahu kerajaan membentangkan kertas putih pertanian agar masalah lama tidak berulang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2019.

MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub mahu berjumpa dengan aktivis dan badan masyarakat berkaitan pertanian selepas sambutan Hari Raya Aidil Fitri untuk mendengar idea dan pandangan mereka bagi memajukan sektor pertanian.

Beliau merancang pertemuan itu selepas timbul cadangan daripada sekumpulan aktivis yang mahu kerajaan membentangkan kertas putih pertanian agar masalah lama tidak berulang.

“Saya bersedia untuk memberikan masa kepada semua NGO dan kumpulan yang berkaitan untuk datang berjumpa dengan saya selepas Hari Raya Aidilfitri. 

“Saya akan berikan sekurang-kurangnya dua jam untuk mereka kemukakan apa yang mereka rasa pihak kementerian harus lakukan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Salahuddin menjemput masing-masing tiga wakil pihak yang berkenaan ke pejabatnya dan meminta mereka menjadikan pelan hala tuju pertanian yang dilancarkan baru-baru ini sebagai asas perbincangan.

“Saya harap mereka bersiap sedia dengan pembentangan yang berkaitan serta cadangan mereka untuk mentransformasikan sektor padi, perikanan, ternakan dan tanaman, selari dengan hala tuju kementerian yang dilancarkan empat bulan lalu,” kata Salahuddin.

Beliau juga memberi komitmen melibatkan pegawai kementerian dalam perbincangan itu dan memastikan setiap perkara yang dibincangkan nanti diambil tindakan lanjut.

“Saya akan pastikan tindakan akan diambil atas apa yang mereka suarakan. Saya sebagai menteri sedia mendengar apa sahaja cadangan mereka,” katanya, yang juga ahli Parlimen Pulai.

Salahuddin sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bertemu kumpulan aktivis pertanian dan Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras Negara (PADI Rescue) di pejabatnya di Putrajaya.

Aktivis pertanian itu sebelumnya menggesa kerajaan membentangkan kertas putih pertanian bagi mengelak kesilapan sama berulang.

Menurut mereka, Malaysia tidak akan dapat membangunkan bidang pertanian untuk masa depan kalau kerajaan terus mengguna kaedah dan pendekatan lama untuk menyelesaikan masalah yang sama.

Mereka menggesa kerajaan menghentikan cara lama, misalnya memberi peruntukan untuk program pertanian yang tidak membuahkan hasil, dan mula mencari cara baru dengan mengenal pasti kelemahan selama ini.

Bekas penasihat kerajaan Daim Zainuddin baru-baru ini menyeru rakyat Malaysia untuk menyertai bidang pertanian dan menyifatkan pertanian adalah masa depan negara.

Beliau menggesa semua pihak memodenkan bidang pertanian sebagai jalan untuk mengurangkan kos import makanan dan bahan makananan ternakan, selain pergantungan pada pekerja asing. – 2 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen