Esscom kekal tapi distruktur semula, kata sumber


Kalidevi Mogan Kumarappa

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) tetapi bakal distrukturkan semula untuk mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapannya, kata sumber. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 2 Jun, 2019.

KERAJAAN akan mengekalkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) tetapi bakal distrukturkan semula untuk mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapannya, kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan kerajaan pada awalnya mahu memansuhkan zon keselamatan yang diperkenalkan pada Mac 2013 namun memikirkan semula pelan itu selepas lawatan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador ke sana baru-baru ini.

Hasil lawatan itu, Abdul Hamid membentangkan rancangan penstrukturan semula untuk menambah baik operasi, jelas sumber.

Abdul Hamid memberitahu The Malaysian Insight, beliau tiada pelan untuk membubarkan Esscom.

“Kita akan kemas kini strategi menghadapi ancaman. Esscom akan disusun semula untuk mantapkan kawal dan perintah,” katanya, namun enggan mengulas lanjut.

Ditanya bila kemas kini pasukan itu akan dilaksanakan, Abdul Hamid berkata, ia sedang dalam proses.

Beliau juga enggan mengulas apakah penstrukturan semula itu akan melibatkan pertukaran pegawai dan anggota.

Sementara itu, Komander Esscom, Hazani Ghazali berkata penstrukturan Esscom akan membabitkan operasi, memperkuatkan kerjasama antara agensi dan meningkatkan tenaga kerja.

Perintah berkurung di kawasan itu juga akan diteliti dari masa ke masa dan diteruskan jika perlu, katanya.

Esscom pada masa ini melibatkan kekuatan 68 pegawai Angkatan Tentera Malaysia, 67 pegawai dan anggota polis, 20 anggota dan pegawai APMM serta 22 kakitangan awam.

The Malaysian Insight difahamkan idea membubarkan Esscom timbul ekoran kos pengurusannya yang tinggi.

“Rancangan untuk bubarkan Esscom timbul apabila pasukan sukar untuk menanggung kos pergi balik anggota dan pegawai dari Semenanjung Malaysia,”  kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Esscom pada masa ini melibatkan kekuatan 68 pegawai Angkatan Tentera Malaysia, 67 pegawai dan anggota polis, 20 anggota dan pegawai APMM serta 22 kakitangan awam.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 2 Jun, 2019.

Selain kos tinggi, keberkesanan pasukan khas itu juga dipersoalkan selepas kes penculikan dan pencerobohan terus berlaku, yang terbaru pada September dan Oktober tahun lalu.

Operasi yang melibatkan pasukan tentera dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga berdepan masalah rantaian perintah, kata sumber.

“Namun, selepas diambil kira kepentingan kawalan keselamatan di pantai timur Sabah, Abdul Hamid bersama agensi lain membuat keputusan untuk menstruktur semula termasuk usaha memperoleh peralatan tambahan bagi memantapkan tugas pasukan keselamatan bawah Esscom,” tambah sumber.

Kawasan keselamatan itu diwujudkan bagi mengawal zon perairan sepanjang 1,700km yang menganjur dari Kudat di utara pantai timur Sabah sampai ke Tawau di selatan, selepas pencerobohan ke atas Lahad Datu pada awal 2013 oleh pengganas bersenjata dari selatan Filipina.

Zon keselamatan itu juga bertujuan menghentikan kegiatan penculikan dan lanun di kawasan itu.

Sejarah Esscom

Selepas pihak berkuasa menyelesaikan pencerobohan kumpulan yang menggelar diri mereka tentera Kesultanan Sulu pada Mac 2013, kerajaan mengisytiharkan kawasan pantai timur Sabah sebagai zon keselamatan di bawah Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013.

Operasi awalnya ialah mengesan saki baki pengganas dari selatan Filipina bagi memastikan kawasan di timur laut Sabah kekal aman.

Pada 1 April berikutnya, kerajaan membentuk Esscom sebagai agensi penguatkuasaan zon keselamatan itu, yang merangkumi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Tawau.

Pembentukan kawalan keselamatan itu menyamai operasi di Sarawak semasa usaha membanteras ancaman komunis pada 1970-an. – 2 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen