LEBIH daripada 34,000 dipindahkan daripada pulau pelancongan Bali apabila sebuah gunung berapi dikesan bergegar, menimbulkan kebimbangan yang ia boleh meletus buat kali pertama dalam tempoh lebih 50 tahun, kata seorang pegawai hari ini.
Agensi mitigasi bencana Indonesia berkata jumlah penduduk yang melarikan diri daripada kediaman mereka di pergunungan itu meningkat tiga kali ganda sejak Jumaat lalu ketika kebimbangan semakin memuncak yang Gunung Agung boleh meletup bila-bila masa sahaja.
“Proses pemindahan sedang berlaku dan kami jangka jumlah mereka yang akan dipindahkan akan terus meningkat,” kata jurucakap agensi Sutopo Purwo Nugroho kepada AFP.
Gunung berapi yang terletak 75km dari pusat pelancongan, Kuta mula bergegar sejak Ogos lalu.
Pihak berkuasa mengeluarkan amaran keselamatan tahap tertinggi pada Jumaat susulan aktiviti gegaran gunung itu dan menggesa penduduk berada sekurang-kurangnya sembilan kilometer daripada kawahnya.
“Saya sebenarnya sangat bimbang untuk berpindah, saya tinggalkan lembu dan khinzir di rumah kerana kami diarahkan berpindah serta merta,” kata seorang penduduk Nyoman Asih yang dipindahkan kepada AFP.
Lapangan terbang antarabangsa ibu kota Bali di Denpasar menjangkakan kemungkinan lapangan itu ditutup tetapi buat masa ini tiada jadual penerbangan yang terjejas.
Lapangan itu sudah menyediakan bas dan kereta api untuk mengangkut penumpang ke lapangan terbang lain di daerah terdekat sekiranya gunung berapi itu meletup.
Pusat Gunung Berapi dan Mitigasi Bencana Geologikal Indonesia mengatakan gegaran berkurangan hari ini tetapi ia lebih kuat berbanding hari sebelumnya.
“Gunung berapi itu masih belum meletup, gempa bumi semakin kurang tetapi magnitudnya semakin kuat,” kata Gede Suantika, pakar gunung berapi kanan agensi itu kepada AFP.
Lebih daripada 1,000 terbunuh apabila Gunung Agung meletup kali terakhir pada 1963. – AFP, 24 September, 2017.
Komen