.jpg)
MESKIPUN marah dan kesal, masyarakat pastinya mengharapkan Abang Botak atau nama sebenarnya Danial Abdullah Tan yang dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara atas kesalahan melakukan khianat dengan memecahkan cermin sebuah kereta di Seri Kembangan awal minggu ini diberi pertimbangan sewajarnya agar menerima hukuman lebih ringan berbanding apa yang telah diputuskan oleh mahkamah.
Biarpun tindakan beliau itu satu kesalahan, proses undang-undang selayaknya dijadikan medium untuk mendidik dan bukannya menghukum berat pesalah dengan mengambil kira kesalahan kali pertama yang beliau lakukan.
Danial yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan juga boleh dijatuhi hukuman denda yang tinggi sebagai ganti kepada hukuman yang telah dijatuhkan semalam.
Namun sekiranya hukuman penjara adalah proses paling wajar, seeloknya ada pihak boleh membantu beliau membuat permohonan penangguhan hukuman.
Ini untuk membolehkan beliau membuat persediaan secukupnya bagi keperluan anak dan isteri bagi menghadapi tempoh tanpa ketua keluarga di sisi sepanjang tempoh penjara, memandangkan keadaan kewangan beliau yang mungkin sempit berdasarkan pekerjaan beliau sebagai pembantu stor.
Tinggi harapan agar kejadian ini menjadi pengajaran yang bermanfaat kepada semua agar lebih tenang dan berhati-hati dalam tindakan.
Namun pada masa yang sama, tolenrasi masyarakat juga inginkan undang-undang tidak terlalu bersifat menghukum, tetapi lebih kepada memberi didikan dan pengajaran kepada warganegara bergantung kepada tahap pelanggaran hukum.
Kesan hukuman berat ini akan memberi impak negatif bukan sahaja kepada Danial, tetapi anak dan isteri beliau. Beliau pastinya telah cukup merasai tekanan dan kecaman masyarakat apabila video perbuatannya tular dan tersebar.
Meskipun desakan ini mungkin dianggap terpencil namun pasti ramai yang tetap mendoakan agar hukuman Danial dikurangkan. Ramai percaya semua proses ini akan mendewasakan beliau. Ia juga cukup untuk menjadikan seluruh rakyat yang cakna belajar sesuatu dan menjadi warganegara yang baik pada masa hadapan.
Jagalah amarah kita terutama pada bulan mulia ini. Kesilapan yang sedikit boleh membuatkan kita menanggung kesan buruk sepanjang hidup kita. – 1 Jun, 2019.
* Saifuddin Shafi Muhammad adalah ketua Pemuda PKR Hulu Selangor.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen