DUA bekas menteri pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein kini dikehendaki agensi antirasuah bagi siasatan kes penukaran tanah kementerian itu.
Sumber agensi antirasuah memberitahu The Malaysian Insight, dua individu itu akan dipanggil untuk dirakam keterangan pada akhir bulan depan.
Selain dua pemimpin Umno itu, beberapa individu termasuk pegawai khas mereka akan dipanggil bagi membantu siasatan, kata sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kami akan panggil sesiapa saja yang boleh membantu siasatan untuk dirakam keterangan. Saya tidak boleh dedahkan bilangan individu yang akan dipanggil,” kata sumber.
Menurutnya, sebelum dua individu itu dipanggil, saksi lain akan dirakam keterangan terlebih dahulu selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.
Butiran mengenai skandal 16 penukaran tanah itu dibentangkan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pada 9 Mei lalu dalam Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan Dewan Negara.
Kementerian itu juga membuat dua laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal yang mengakibatkan kerajaan rugi lebig RM500 juta.
Kesemua 16 kes itu membabitkan tanah berkeluasan 1,182 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan. – 30 Mei, 2019.
Komen