IMAM yang dipecat di Perlis menolak kenyataan polis bahawa kes membakar kenderaan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin bersangkut paut isu pemecatan jawatan mereka.
Bekas imam Masjid Saidina Umar Al-Khattab di Guar Syed Alwi Kamaradin Napiah mendakwa isu pemecatan 25 imam dan pembakaran kereta itu hanya dikaitkan pihak tertentu termasuk media.
Walhal, isu mengenai pemecatan 25 imam pada Januari itu sudah diselesaikan tanpa sebarang masalah, katanya kepada The Malaysian Insight.
“Yang itu mungkin berita sengaja kaitkan, andaian semata-mata, bukan orang itu kata pun, itu isu peribadi dia, kita tak tahu. Itu (kaitkan bakar kereta dengan pemecatan imam hanya) andaian masyarakat.
“Kalau kita kata (suspek itu) penagih dadah, apa dia tahu pasal isu (pemecatan) imam-imam ini, tidak ada kaitan apa ini,” katanya, lagi.
Kamaradin yang turut dipecat pada Januari itu berkata, isu berkenaan tidak memberi kesan kepadanya dan berpendapat tidak wajar untuk berterusan bermusuhan atas perkara kecil itu.
“Bagi kita ini benda kecil, cuma masyarakat pertikai caranya (pemecatan imam).
“Takkan kita nak bergaduh berterusan, kita dapat terima sudah, cumanya (waktu itu) masyarakat, anak-anak kariah pertikai cara sahaja,” katanya lagi.
Malah, beliau juga masih menunaikan ibadah di masjid berkenaan seperti biasa tanpa sebarang masalah.
“Saya masih berjemaah seperti biasa, rumah saya berkembar (berjiran) dengan masjid.
“Yang sensitif itu masyarakat, anak jemaah, bukan kita. Mungkin ada jemaah yang tidak dapat terima perkara biasa mereka buat. Jadi itulah keadaannya, saya ok sahaja,” katanya.
Siasatan awal polis mendapati kejadian itu bermotifkan dendam berhubung pemecatan imam di negeri itu.
Kumpulan kariah Masjid Saidina Umar Al-Khattab, yang turut membantah pemecatan imam tersebut juga berkata mereka tidak lagi mengambil berat isu berkenaan.
Jurucakap kumpulan tersebut, Zainol Abidin Ahmad, 69, berkata mereka juga kini menerima keputusan berkenaan.
“Isu itu sudah lama. Saya pun tidaklah sangat ambil kira hal ini lagi. Berkenaan status imam ini, di sini, mereka juga sudah terima hakikat atas keputusan itu,” katanya.
Zainol memimpin kira-kira 150 anak kariah masjid pada 4 Januari lalu yang berhimpun bagi membantah tindakan pihak berkuasa agama Perlis memecat imam terbabit.
Perhimpunan aman itu turut meminta Asri tampil dan memberi alasan pemecatan imam berkenaan dan mendakwa mufti tersebut berselindung di sebalik pengaruh Istana.
Katanya, alasan Asri bahawa imam berkenaan sudah berusia, tidak berdisiplin dan suka berpolitik tidak boleh diterima.
Seorang peniaga pasar malam, Mohd Azimar Abd Razak didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar pada 24 Mei lalu atas tuduhan melakukan khianat membakar kereta rasmi mufti Perlis.
Azimar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut sewaktu didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas.
Tertuduh didakwa membakar kereta Honda Accord warna hitam milik kerajaan negeri pada 22 Mac lalu dengan maksud hendak menyebabkan kerosakan kepada kenderaan itu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang dibaca dengan Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 14 tahun dan denda.
Kereta itu dilaporkan dibakar pada bahagian bonet dan cermin hadapannya juga dipecahkan. – 30 Mei, 2019.
Komen