Arab Saudi pintas peluru berpandu pemberontak Yaman


Penyokong gerakan pemberontakan Huthi di Yaman berkumpul di ibu kota Sanaa pada 21 September lalu meraikan tahun ketiga pengambilalihan oleh pemberontak. – Gambar AFP, 24 September, 2017.

PELURU berpandu pemberontak Yaman yang dihalakan ke arah Arab Saudi berjaya dipintas, kata gabungan ketenteraan Arab, ketika sambutan hari kebangsaan sedang diraikan di seluruh negara itu semalam.

Peluru berpandu balistik itu disasarkan ke Khamis Mushait, yang menempatkan pangkalan udara utama gabungan diketuai Arab Saudi untuk operasi di Yaman, lapor agensi media Saudi memetik gabungan itu sebagai berkata.

Katanya, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan berlaku ketika peluru berpandu itu dipintas.

“Pasukan Tentera Udara Diraja Arab Saudi mengesan peluru berpandu balistik itu dilancarkan dari dalam wilayah Yaman,” katanya.

Serangan itu dibuat ketika pelbagai konsert, tarian dan persembahan bunga api diadakan dalam sambutan hari kebangsaan Arab Saudi.

Beberapa serangan peluru berpandu, dan serangan roket jarak dekat sering berlaku di kawasan sempadan selatan, selepas gabungan Arab melakukan serangan udara terhadap pemberontak di Yaman.

Minggu lalu, ketua pemberontak mengancam untuk melancarkan peluru berpandu ke arah Emiriyah Arab Bersatu dan menyerang tangki minyak Arab Saudi di Laut Merah.

Pemberontak Huthi dan sekutu mereka, bekas anggota keselamatan Yaman yang ada kaitan dengan bekas presiden Ali Abdullah Saleh, mula melakukan serangan balas terhadap kerajaan itu sejak dua tahun lalu.

Gabungan itu campur tangan dalam negara berkenaan pada Mac 2015 untuk menyokong Presiden Abedrabbo Mansour Hadi, yang berkata pemberontak terbabit mendapat sokongan musuh Arab Saudi, iaitu Iran.

Perang itu setakat ini menyebabkan lebih 8,500 rakyat terbunuh dan mencederakan hampir 49,000 yang lain, menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia.

Lebih 17 juta rakyat Yaman kini berdepan kekurangan bekalan makanan, dan wabak kolera yang melanda negara itu kini membunuh lebih 2,100 orang sejak April. – AFP, 24 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen