-2.jpg)
“... tapi semakin ditinda-tindas
jiwa buruh semakin bergelora
bersatu, bertenaga, bekerja dan berjuang
mencapai taraf hidup setara manusia”
- Usman Awang, Nasib Buruh (Mei 1950) -
SEPERTIMANA yang kita ketahui, Malaysia sejak dahulu lagi sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum. Pada era kolonial, demi kepentingan ekonomi pihak British, mereka telah membawa masuk pekerja dari China untuk melombong dan masyarakat India yang kebanyakannya dari Selatan India untuk mengerjakan ladang getah.
Menurut Kua Kia Soong, dalam bukunya Racism and Racial Discrimination in Malaysia (2015), pembahagian tenaga buruh berdasarkan kaum boleh dilihat sejak abad ke-19. Sistem pembahagian ini telah mengekalkan masyarakat Melayu untuk mengusahakan tanah pertanian, masyarakat Cina di kawasan perlombongan dan masyarakat India pula di perladangan.
Antara sebab utama mereka dibawa ke Malaya pada masa itu adalah kerana peningkatan permintaan ekonomi yang tinggi kepada kedua-dua sektor ini kesan daripada Revolusi Perindustrian. Faktor mustahak yang membawa kepada kemasukan kaum India dan Cina ialah kerana tenaga buruh murah.
Sehingga kini, polisi buruh murah masih jadi pedoman dan tulang belakang pada para pemodal. Siapakah golongan pemodal ini? Bukan sahaja syarikat besar yang dikatakan multinational corporations, tetapi juga francais di sekeliling kita, pemilik restoran, pemilik telekomunikasi, mereka yang memiliki modal dan melaburnya dalam perniagaan. Alasan inilah yang juga digunakan untuk meraih keuntungan.
Dasar buruh murah membenarkan kemasukan pekerja asing bukan sahaja di Malaysia, namun di serata dunia walaupun adanya faktor lain seperti peperangan dan kemiskinan yang menyebabkan pemindahan warga asing ini. Sepertimana kemasukan kaum masyarakat Cina dan India pada masa dahulu, kini dari Myanmar, Indonesia, Pakistan dan seterusnya.
Adakah ini bermaksud pekerja warga asing musuh kita? Dalam sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), didapati bahawa setiap hari seorang pekerja warga Nepal mati di Malaysia.
Kematian sepasang suami isteri akibat keruntuhan tapak pembinaan di Gombak yang juga warga asing menunjukkan bagaimana nyawa mereka tidak diendahkan walaupun cadangan demi cadangan diberi untuk meningkatkan fasiliti dan kualiti keselamatan untuk mereka.
Pernahkah kita terfikir bagaimana golongan pekerja, tidak kira sama ada orang Malaysia ataupun warga asing dilayan oleh para majikan dan para pemodal? Adakah mereka yang bekerja di call centre, di 7-Eleven, restoran makanan segera seperti KFC dan McDonalds sahaja dikategorikan sebagai golongan pekerja?
Golongan pekerja adalah mereka yang makan gaji dan masa mereka dihabiskan untuk memikirkan kerisauan tentang bagaimana untuk bertahan hidup dan menanggung situasi pada setiap hujung bulan sehingga terpaksa makan mee segera atau hanya nasi dengan garam.
Ini tidak termasuk lagi mereka yang terpaksa bekerja lebih masa ataupun yang terpaksa mencari nafkah dengan membuat kerja sampingan, kadangkala sehingga dua atau tiga kerja. Kalau bukan mereka, siapa lagi yang akan memandu Grabcar, MyCar, penghantaran makanan dan lain-lain.
Berapa ramai golongan pekerja dapat meluangkan masa sejak bermaharajalelanya kuasa duit sehingga wujudnya pelbagai tekanan mental? Tambahan pula, apakah nasib mereka yang hendak berkahwin atau membeli rumah?
Mampukah seorang yang bergaji RM1,100 iaitu gaji minima yang ditetapkan oleh kerajaan mampu membeli sebuah rumah di Selangor, Kuala Lumpur atau Pulau Pinang yang rata-ratanya bernilai RM250 ribu dan ke atas?
Adakah rumah mampu milik yang ditetapkan oleh kerajaan ini berdasarkan kemampuan nyata golongan pekerja atau hanya mengikut kesenangan dan keuntungan para pemaju?
Ketimpangan
Akar kepada ketidakseimbangan ekonomi ini ialah kerana beberapa golongan pemodal, majikan besar, dan taikun sahaja yang mengawal dan memiliki keuntungan ke atas 99% masyarakat.
Wujud pula persoalan, adakah 99% masyarakat di Malaysia, mahupun di dunia, tidak seharusnya menikmati kekayaan dunia?
Sebagai contoh, adakah mereka yang bekerja di Alam Flora tidak layak mendapat gaji yang adil agar dapat hidup secara bermaruah kerana mereka hanya mengutip sampah? Tetapi adakah kita mampu hidup dalam satu suasana yang dipenuhi dengan timbunan sampah?
Sumbangan mereka bukan sahaja dalam mengekalkan sebuah persekitaran yang bersih tetapi juga berperanan dalam mencegah penyakit.
Golongan pekerja yang miskin dan bergelut dengan sistem ekonomi yang mencekik ini merentasi agama, kaum, bangsa, bahasa, dan negara ternyata wujud dan mereka ini ramai.
Tidak pernahkah kita melihat bahawa adanya rakan kita yang berlainan bangsa di bangku kantin sekolah tanpa mempunyai duit makanan? Tidak pernahkah kita melihat pengemis ataupun gelandangan yang berlainan bangsa mengemis dan tidur di jalanan?
Kenapa golongan tertindas seperti ini tidak bersatu menuntut hak mereka, sedangkan golongan pemodal tidak pernah bergaduh sesama mereka?
Hal ini kerana mereka bijak memahami bahawa keuntungan mereka hanyalah terjamin jika mereka dapat bersatu, pada masa yang sama tidak memberikan peluang atau merosakkan segala peluang untuk golongan pekerja bersatu.
Dalam konteks politik, muslihat memecah-belahkan rakyat berdasarkan agama dan bangsa ini bukan sahaja diterajui oleh golongan pemodal, tetapi juga oleh ahli politik yang mendahagakan kuasa.
Mereka ini digelar sebagai puak kanan yang menggunakan serta memainkan sentimen agama dan kaum bukan untuk kebaikan masyarakat, tetapi untuk memperolehi kuasa politik dan kuasa ekonomi.
Ia satu taktik kotor sepertimana yang dihalalkan oleh Machiavelli dalam bukunya The Prince dan taktik ini berleluasa dalam negara kita sejak zaman pra kemerdekaan sehingga kini dan di seluruh dunia seperti di Brazil dan Amerika Syarikat.
Untuk menghalang pekerja daripada bersatu dan menuntut hak mereka, institusi sosial seperti keluarga, agama dan pendidikan digunakan untuk menyalurkan ideologi yang menyebelahi pihak berkuasa dan yang kaya raya.
Sebagai contoh, adakah kita pernah melihat iklan-iklan yang mempromosikan kepentingan kesatuan sekerja, kebebasan akademik, kepentingan sistem perubatan percuma dan sistem pendidikan universal?
Walaupun kesatuan sekerja adalah sebuah perkara asas dan penting untuk menjaga kepentingan pekerja tetapi tidak pernah diperkenalkan mahupun disebarkan dalam struktur organisasi itu sendiri kerana kesatuan sekerja menggugat kedudukan mereka yang kaya raya, berpengaruh dan golongan pemodal.
Oleh itu, pekerja seringkali diberitahu supaya tidak mempersoalkan tetapi perlulah bersyukur kerana mempunyai kerja dan pendapatan melaluinya.
Pada tahun 1947, Pan-Malayan General Labour Union (PMFTU) adalah salah sebuah kesatuan pekerja yang mempunyai keahlian hampir sebanyak 260,000 pekerja, iaitu 85% daripada jumlah tenaga kerja di Malaya yang pada ketika itu begitu tegas dalam isu melibatkan hak pekerja dan negara.
Tetapi era 80-an melihatkan polisi neo liberal yang bermanja-manja atau flirting dengan pihak korporat telah melumpuhkan kesatuan pekerja akibat daripada union busting sehingga majoriti golongan pekerja tidak tahu-menahu mengenainya. Penyatuan pekerja merentasi agama, bangsa dan kaum yang direalisasikan oleh kesatuan sekerja telahpun lenyap dan hanya menjadi mimpi kosong.
Maka, tujuan utama ideologi ini adalah untuk memenangi hati dan minda masyarakat untuk mengolah persetujuan bahawa setiap perkara yang dilakukan oleh pihak pemerintah, yang pada kebanyakan masanya didalangi oleh pihak pemodal, adalah untuk kesejahteraan semua. Ini adalah pergelutan ideologi minda yang lebih efektif berbanding pergelutan fizikal.
Apabila yang berkuasa dapat memenangi minda masyarakat, maka masyarakat tidak lagi mempersoalkan apa jua penindasan dan ketidakadilan yang berlaku kepada mereka.
Untuk menambahkan lagi kerumitan ini, masyarakat dipecahkan lagi mengikut perbezaan yang wujud antara manusia dengan idea bersifat rasisme supaya mereka sibuk bergaduh sesama sendiri, sedangkan yang berkuasa tetap berkuasa, yang kaya menjadi kaya-raya, manakala yang miskin menjadi papa kedana.
Apa yang masyarakat perlu fikir dan sedar adalah penyatuan mengikut bangsa, agama dan kaum sendiri akan memberikan kelebihan kepada masyarakat secara keseluruhan dan bukan kepada golongan elit yang tujuannya hanya untuk mengekalkan kekuasaan dan kekayaan.
Adakah kita pernah terdengar berita hak golongan kaya dan berkuasa dirampas atau ditindas? Tidak pernah.
Betapa baiknya jika warga pekerja dapat bersatu dan bersuara berdasarkan kelas mereka, iaitu kelas pekerja. – 30 Mei, 2019.
* Syazwani Mahmud dan Barathi Selvam adalah ahli jawatankuasa Gabungan Pembebasan Akademik
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen