SATU lagi gempa bumi dengan magnitud 6.1 skala Richter melanda Mexico City semalam selepas gempa melanda pada Selasa hingga menyebabkan lebih 300 terkorban dan 39 bangunan runtuh di ibu kota itu.
Ketika amaran dikeluarkan, ratusan penduduk berlari ke luar jalanan, ada yang berkaki ayam, sesetengahnya mendukung kanak-kanak.
Walaupun gegaran semalam tidak sekuat gempa pertama, mereka masih trauma.
“Tolonglah kami Tuhan,” kata Teresa Martinez, 74, yang berlari keluar ke jalanan mencari tempat selamat. Dia berdiri bersama beberapa wanita lain, semuanya sedang menangis.
Dua wanita meninggal dunia kerana serangan jantung ketika cuba keluar dari rumah menyelamatkan diri, lapor media tempatan. Seorang berusia 80-an manakala seorang lagi 52 tahun.
Gempa bumi semalam menyebabkan bangunan bergoyang, tetapi ada juga yang tidak perasan gegaran itu.
Kaji selidik geologi Amerika Syarikat merekodkan gempa terbaru itu berlaku jam 12.53 tengah hari waktu tempatan dengan kelajuan 18km ke tenggara bandar Matias Romero, di bahagian selatan Oaxaca.
Sebuah jambatan berhampiran bandar Juchitan runtuh, dengan imej televisyen menunjukkan berlaku kerosakan teruk dan beberapa bangunan lain turut musnah.
Presiden Enrique Pena Nieto berkata di Twitter jambatan itu perlu dibina semula. – AFP, 24 September, 2017.
Komen