Ke mana Umno Johor mahu bawa orang Melayu?


NEGERI Johor dikejutkan dengan sebuah program berbuka puasa muhibbah yang dikatakan anjuran Pejabat Ahli Parlimen Johor Bahru, diadakan di Gurdwara Sahib, Jalan Trus, Johor Bahru.

Beberapa hari sebelum majlis, akaun Facebook Ops Johor yang amat giat menyebarkan naratif dan persepsi pro pembangkang telah menaikkan sebuah kiriman mengecam dan memperkecilkan program tersebut. Ia merujuk Akmal Nasir sebagai “liberal”, manakala pemimpin politik Malaysia Baru telah “rosak akidahnya”.

Apa yang berlaku ini bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Sebagai sebuah negeri yang berbilang bangsa, agama dan telah menikmati kemajuan ekonomi yang berterusan, kewujudan pelbagai pemikiran, idealisme dan pembawakan dalam kalangan rakyatnya tidak boleh dielakkan lagi.

Maklumat tidak boleh disekat

Umno Johor harus mengakui bahawa pembawakan Islam versi Umno pasca Pilihan Raya Umno ke-14, terutama sekali di kawasan bandar dan separa-bandar tidak lagi boleh diterima pengundi dan orang Melayu di Johor khususnya.

Pada zaman maklumat yang semakin terbuka sekarang, rakyat bebas menerima kefahaman agama, dan mengubah prinsip kehidupan berdasarkan apa yang diterima dalam talian, tanpa melalui sistem dan struktur penyebaran maklumat yang agak tertutup seperti dahulu.

Struktur sosial masyarakat Melayu di kawasan bandar dan separa bandar juga telah berubah. Mereka tidak lagi memfokuskan seratus peratus kepada the politics of development tetapi kepada the politics of identity and substance. Mereka lebih kisah terhadap pembangunan intelek, pemikiran dan makna – bukan kepada politik bantuan dan pemberian semata-mata.

Ini memberi kesan kepada bagaimana Umno, sebagai sebuah parti Melayu terbesar negara, memilih isu dan naratif yang sesuai sebagai modal politik yang berasas untuk dimainkan dan dijuarai. Bukan sahaja untuk tujuan politik tetapi sebagai agen perubahan orang Melayu.

Jika kita lihat, hujah yang dimainkan oleh penyokong dan ahli parti terhadap isu ini amatlah cetek dan tidak berkembang. Lebih menyedihkan lagi, banyak serangan peribadi dilakukan untuk memberi justifikasi terhadap ketidakpuasan mereka berkenaan penganjuran program ini.

Serangan peribadi seperti lemparan kata-kata kesat, sindiran sinis dan argumen picisian yang lain langsung tidak menjawab soalan pokok yang semua rakyat Malaysia tanyakan: Kenapa program berbuka puasa muhibbah ini salah?

Umno Johor tiada ideologi

Apa yang berlaku menyerlahkan lagi budaya politik personaliti berbanding politiik ideologi yang sepatutnya ada dalam sebuah parti politik moden seperti Umno Johor.

Malaysia Baharu pasca PRU14 amatlah mencabar bagi semua institusi politik konservatif yang ada di Malaysia. Ini kerana wacana liberalisme, positivisme, pluralisme dan relativisme semakin rancak diarusperdanakan oleh pemerintah, dan aktivis serta badan masyarakat yang berkaitan.

Ia tidak salah, kerana dalam demokrasi, semua pihak diberi ruang untuk membentangkan hujah dan idea mereka terhadap sesuatu perkara.

Namun begitu, keengganan Umno Johor untuk melihat perubahan ini, dan membangun semula ideologi yang baru dalam konteks sebuah institusi politik konservatif amat disesali. Secara langsung, ia memberi kesan kepada bagaimana politik konservatif diwacanakan di negeri.

Buat masa sekarang, ia dilihat seakan tidak bermaya, mundur dan tidak bertaring.

Umno Johor tidak mahu mengemudi dan memposisi nilai-nilai konservatif dalam ekosistem politik negeri mahupun negara yang semakin progresif sekarang.

Keberatan Umno Johor untuk bercakap berkenaan Islam, Melayu, Institusi Raja Berperlembagaan, kuota matrikulasi, sekolah vernakular dan pelbagai lagi polemik yang timbul mutakhir ini, secara perlahan telah memakan diri sendiri.

Yang terbaharu adalah kecetekan hujah Umno Johor terhadap program berbuka puasa muhibbah anjuran ahli Parlimen Johor Bahru ini. Jika dilihat hujahan balas Akmal Nasir, beliau sendiri telah memperjelaskan apa yang berlaku pada hari kejadian. Dengan mudah dan menghormati tradisi Islam serta masyarakat majmuk yang lain. Khalas.

Namun, malang sekali inilah naratif yang Umno Johor pilih. Naratif berdasarkan syak dan marah, yang amat dihalang dalam Islam sendiri. Islam menuntut kita mencari ilmu, menghilangkan syak dan ragu-ragu, serta mengakui kejahilan.

Dan yang lebih utama, menahan diri dari menyebarkan kesangsian serta kejahilan kepada orang awam, yang masih lagi keliru tentang hakikat beragama.

Maka, saya tinggalkan Umno Johor dengan satu soalan asas, atas semangat ayat Quran, Surah At-Takwir, ayat ke 26: “Faina Tazhabun” – ke manakah Umno Johor mahu membawa orang Melayu.– 30 Mei, 2019.

* Abdullah Ilham adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen