Pengusiran keluar amat mengejutkan, kata pemimpin PKR Sarawak


Bede Hong

APA yang kerajaan negeri Sarawak takutkan sangat?

Itu soalan yang dibangkitkan pemimpin PKR Sarawak Baru Bian selepas tiga pemimpin PKR dari semenanjung dihantar keluar dari negeri itu semalam menjelang ceramah pertama Dr Mahathir Mohamad di Kuching hari ini.

Baru berkata beliau terkejut terutama dengan cara ADUN Kuala Sepetang Chua Yee Ling diarahkan pulang ketika menghadiri majlis kutipan dana di Miri dan dihantar menaiki pesawat terakhir kembali ke semenanjung.

“Jabatan imigresen, di bawah arahan kerajaan negeri, mengambil tindakan yang sangat ekstrem,” kata Baru kepada The Malaysian Insight.

“Ketika majlis rasmi sedang berlangsung, dan anda ambil tindakan seperti itu, ia menunjukkan kesombongan.”

Pegawai imigresen mengganggu ucapan Chua pada majlis kutipan dana “Pink Diamond” PKR di Miri malam tadi. Beliau dibawa ke lapangan terbang Miri dan diarah menaiki pesawat pulang ke Kuala Lumpur pada 9.30 malam.

Chua menjadi wakil rakyat pembangkang yang ketiga dari semenanjung diarahkan keluar dari Sarawak semalam.

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad dijadualkan berucap pada program ceramah di Kuching malam ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2017.

Baru mengecam tindakan pengusiran itu, menambah Akta Imigresen tidak menghalang wakil rakyat daripada menjalankan aktiviti politik yang sah.

“Dan anda (kerajaan negeri) sama saja seperti Umno bila anda kata hendak hentikan budaya semenanjung (Malaysia) daripada masuk ke Sarawak. Inilah budayanya.

“Ini benda bodoh. Kenapa tidak boleh tunggu hingga selesai majlis atau hingga esok pagi.

“Saya rasa rakyat tidak akan ambil mudah perkara ini. Saya rasa mereka yang menyaksikan insiden itu sangat marah dengan tindakan sedemikian.

“Kami simpulkan pasti ada sesuatu yang sangat mereka takutkan,” katanya.

Wakil rakyat pembangkang Zuraida Kamarudin dan Hee Loy Sian dilarang memasuki Sarawak selepas tiba di Miri semalam. Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang juga sepatutnya tiba di Miri malam tadi, dinasihatkan oleh pemimpin parti supaya tidak menaiki pesawat.

Wakil rakyat PKR datang ke Miri untuk menghadiri majlis kutipan dana dan “Purple Women’s Walk” – acara berjalan kaki bagi membantah “politik toksik” pagi ini.

Pada sebelah malam hari ini, ceramah Pakatan Harapan akan diadakan di Kuching dengan pengerusi gabungan pembangkang, Dr Mahathir dijadualkan sebagai speaker terakhir.

Tindakan pengusiran semalam berlaku hanya selepas beberapa jam Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata kerajaan negeri tidak akan menghalang kemasukan Dr Mahathir, Lim Kit Siang dan pemimpin Pakatan Harapan lain ke negeri itu untuk ceramah pertama mereka di Kuching.

Bercakap pada majlis sambutan ulang tahun ke-60 di Bau semalam, Abang Johari berkata tidak ada masalah untuk Dr Mahathir dan Lim masuk ke negeri itu kerana “mereka bukan ekstremis”.

“Saya akan hanya halang mana-mana ahli politik yang mungkin mengancam perpaduan Sarawak. Kebebasan bersuara tidak bermakna ia boleh dilakukan hingga menjejaskan rakyat,” katanya. – 24 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen