Kit Siang hilang semua kredibiliti, kata Najib


Timothy Achariam

Najib Razak berkata, veteran DAP Lim Kit Siang telah “kehilangan semua kredibiliti” selepas menolak berdebat dengannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 29 Mei, 2019.

NAJIB Razak berkata, veteran DAP Lim Kit Siang telah “kehilangan semua kredibiliti” selepas menolak berdebat dengannya.

Bekas perdana menteri yang kini sedang dibicarakan atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menolak kenyataan Lim awal hari ini yang mendesak pihak berkuasa menyiasatnya di bawah Kanun Keseksaan untuk kegiatan “merosakkan demokrasi Parlimen” pada Julai 2015 apabila beberapa agensi terlibat dalam kes 1MDB.

“Dia telah kehilangan semua kredibiliti,” kata Najib kepada pemberita di luar Mahkamah Kuala Lumpur selepas perbicaraannya ditangguhkan hari ini.

Lim juga menyarankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas insiden Julai 2015 yang mana penasihat DAP menggelar “Week of Long Knives Operation” melibatkan institusi utama seperti Jabatan Peguam Negara, polis, Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Ketua Audit Negara.

Najib berkata, Lim takut berdebat dengannya secara peribadi.

“Dia tidak berpuas hati selepas dia malu…Dia tidak berani ambil cabaran (berdebat) tetapi masih mahu menembak dari belakang.

“Walaupun Kit Siang boleh bertanya kepada saya ketika debat, saya tak ada masalah jika RCI dijalankan, tak ada masalah,” katanya.

Khamis lalu Lim mengumumkan beliau tidak akan berdebat dengan Najib.

Kedua-duanya sering mengeluarkan kenyataan awam terhadap satu sama lain.

Lim yang merupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri menarik diri dari debat kerana bimbang ia akan menjadi konflik perkauman dan mengatakan tidak ada erti berdebat dengan Najib yang sudah berbohong bertahun-tahun mengenai skandal 1MDB.

Pada Julai 2015, beberapa menteri di kabinet Najib termasuk bekas timbalan perdana menteri muhyiddin Yassin dan peguam negara Abdul Gani Patail telah dilucutkan jawatan.

Terdapat spekulasi ketika kejadian Abdul Gani sedang mempersiapkan tuduhan terhadap Najib atas dakwaan rasuah berkaitan 1MDB. – 29 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen