Tiada tempoh masa Zahid bercuti, kata Ismail Sabri


Mohd Farhan Darwis

Namun sepanjang tempoh bercuti itu juga, Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh mencampuri urusan Umno, kata Ismail Sabri Yaakob. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 Mei, 2019.

TIADA tempoh masa ditetapkan kepada Ahmad Zahid Hamidi untuk bercuti daripada tugas presiden Umno, kata naib presiden parti itu Ismail Sabri Yaakob.

Namun sepanjang tempoh bercuti itu juga, Ahmad Zahid tidak boleh mencampuri urusan Umno, tegasnya.

“Tidak ditentukan (berapa lama Ahmad Zahid berehat), dalam Perlembagaan Umno tidak disebut berapa lama orang itu kena cuti, berapa lama, terserah kepada dia.

“Yang penting sepanjang bercuti Ahmad Zahid tidak campur tangan dalam Umno, dia betul-betul bercuti, tidak terlibat apa-apa,” kata Ismail Sabri.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Umno Bahagian Tebrau, Maulizan Bujang yang menyarankan Ahmad Zahid agar terus bercuti dan tidak mengambil semula tugas sebagai presiden parti itu.

Langkah itu kata Maulizan perlu ekoran wujud gerakan daripada penyokong Ahmad Zahid yang mahu membawa balik beliau daripada bercuti dan mengambil semula tugas sebagai presiden Umno.

“Umno ada 191 bahagian, satu atau dua orang bagi pandangan bukan pandangan parti secara keseluruhan, kita ikut perlembagaan parti. 

“Umno terbuka untuk beri pandangan, kita hormat. Akhirnya perlembagaan tentukan keputusan,” kata Ismail Sabri lagi.

Sementara itu, mengulas penubuhan parti Putra, Ismail Sabri berkata, ia hanya mengundang kepada perpecahan Melayu.

“Lebih banyak parti ditubuhkan Melayu pecah. Kita tak boleh halang, Malaysia negara demokrasi, sesiapa sahaja boleh tubuh parti janji diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan.

“Tetapi lebih banyak parti Melayu lebih berpecah orang Melayu. Kalau sokongan terlampau besar dan banyak akan beri kesan kepada sesiapa tetapi kalau kecil-kecil tak jejas,” katanya.

Dakwanya penubuhan parti itu akan menyebabkan kaum Melayu tidak gembira kerana akan mendorong lebih banyak perpecahan di kalangan parti tersebut.

Ia juga bertentangan dengan usaha dilakukan PAS dan Umno untuk mengurangkan kemerosotan sokongan kaum Melayu, katanya.

“Cuma orang Melayu tak gembira, kenapa ada banyak parti Melayu sedangkan kita satukan Umno dan PAS untuk kecilkan perpecahan Melayu.

“Tapi muncul lagi parti baru, kita pun tak tahu lagi berapa banyak lagi parti akan muncul nak pilihan raya nanti,” katanya lagi. – 29 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen