RAKYAT akan ambil tindakan sendiri kalau melihat keadilan gagal dilaksanakan dalam inkues menentukan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, kata pembangkang.
Merujuk kepada isu penarikan diri peguam bagi pihak keluarga dan kerajaan kelmarin, ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob mengingatkan kerajaan supaya berhati-hati menangani isu berkaitan inkues itu.
Naib presiden Umno itu berkata penarikan diri peguam Syazlin Mansor menunjukkan ada campur tangan oleh Peguam Negara Tommy Thomas.
“Ini isu sensitif dan perlu ditangani dengan baik. Isu ini boleh dimanipulasi sesiapa sahaja dan boleh menjadi bom jangka kepada perkara yang tidak diingini berlaku kalau rakyat lihat ia sebagai kegagalan kerajaan.
“Kita takut rakyat yang resah tunggu kes ini, akan ambil tindakan yang kita tak tahu apa dia,” kata naib presiden Umno itu dalam sidang media di pejabatnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Sidang media diadakan bersama ahli Parlimen PAS diwakili Setiausaha Agung parti Islam Takiyuddin Hassan.
Ismail bagaimanapun menafikan pihaknya menangguk di air keruh ambil kesempatan mempolitikkan isu berkenaan.
Beliau menegaskan pembangkang sentiasa menjarakkan diri daripada berbuat demikian.
Syazlin sebelum ini mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dan keluarga Adib.
“Kita tak pernah gunakan isu ini sebagai isu politik tetapi isunya di sini ialah isu keadilan. Kita tidak jadikan isu ini isu politik. Adib tidak boleh meninggal dunia tanpa pembelaan sewajarnya,” katanya.
Takiyuddin sementara itu menegaskan pembangkang mempertahan prinsip keadilan tanpa mengira mangsa kejadian.
“Kita perlu bezakan apa yang dikatakan sebagai mempolitikkan isu. Kita tidak pernah campur tangan dan tidak politikkan isu kematian Adib sebaliknya kita tuntut keadilan diberikan kepada Adib secara keseluruhannya, iaitu pembelaan terhadap kakitangan kerajaan yang terkorban ketika bertugas.
“Ini kebetulan namanya Adib. Kalau namanya Maniam atau Ah Seng, kami akan buat juga. Ini bukan kerana nama, tapi apa yang dialami si mati ini,” kata Takiyuddin.
Setiausaha agung PAS itu turut memberi amaran kepada Thomas supaya tidak menjadikan Jabatan Peguam Negara (AGC) seperti firma guamannya sendiri dengan bertindak sesuka hati di luar bidang kuasa yang ada padanya.
“Kami tegaskan AG jangan kendalikan AGC sebagai firma guaman dia sendiri. AGC ada prosedur dan aturan yang perlu diikuti.
“Walaupun AG boleh lantik peguam menjadi pendakwa raya, tapi jangan hilangkan keyakinan rakyat kepada AGC.
“Kami pembangkang, meminta kerajaan kaji balik pelantikan AG. Dia sekarang tak layak jadi AG dan sering gagal berperanan dalam kes melibatkan kepentingan awam,” katanya lagi.
Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tiada keperluan untuk Thomas letak jawatan berhubung isu penarikan diri peguam dalam inkues Adib, seperti yang didesak oleh beberapa pihak.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam berkata, Syazlin tiada sebab untuk menarik diri daripada mewakili keluarga Adib dalam prosiding inkues tersebut.
Jelas Dr Mahathir, apa yang menjadi isu ialah peguam itu tidak boleh pada masa sama mewakili KPKT dan JBPM yang sudahpun diwakili oleh AGC sebagai peguam kerajaan.
“Peguam ini peguam keluarga Adib, lepas itu nak jadi peguam kerajaan. Macam mana boleh, tak bolehlah… sebab kerajaan nak tentukan sebab-sebab Adib meninggal dunia,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu di Petaling Jaya, semalam.
“Pihak yang memilih peguam itu tidak sedar dia ini juga jadi peguam keluarga Adib. Jadi bila sudah diketahui, dia mesti tarik diri daripada mewakili kerajaan,” katanya. – 29 Mei, 2019.
Komen