Keistimewaan Bumiputera masih ada di bawah PH, kata Dr Mahathir


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, keistimewaan untuk Bumiputera masih kekal jadi amalan kerajaan di bawah Pakatan Harapan termasuk tender rundingan langsung. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Mei, 2019

KEISTIMEWAAN untuk Bumiputera masih kekal jadi amalan kerajaan di bawah Pakatan Harapan termasuk tender rundingan langsung, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. 

Mengambil contoh projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Dr Mahathir berkata, walaupun tiada kuota khas Bumiputera diberikan, kumpulan tersebut masih mendapat layanan istimewa untuk kes tertentu. 

“Kita tidak ada menetapkan kuota (Bumiputera) lagi tetapi saya hendak menjelaskan bahawa sistem lama yang memberi keistimewaan kepada Bumiputera masih ada termasuk rundingan terus. 

“Untuk kes tertentu keistimewaan melalui rundingan terus ini akan diteruskan dijalankan terutamanya kepada syarikat yang dimiliki oleh koperasi,” katanya pada  sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di ibu pejabat parti di Petaling Jaya, hari ini. 

Ahad lalu, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia memohon kerajaan Pakatan Harapan memberikan kuota khas sekurang-kurangnya 20 peratus kepada kontraktor bumiputera untuk terlibat dalam kerja awam projek ECRL.

Permintaan itu susulan daripada pengumuman yang dibuat oleh Dr Mahathir pada 15 April lalu di mana pembabitan Malaysia dalam kerja-kerja awam projek ECRL ditingkatkan kepada 40% berbanding 30% susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) pada 12 April.

Selepas merampas kerajaan daripada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) tahun lalu, beberapa keputusan Putrajaya mencetuskan keresahan dalam kalangan Melayu termasuk soal pelantikan jawatan kanan menteri dan di institusi utama.

Sokongan Melayu dilihat terus merosot selepas langkah kerajaan mahu mengesahkan perjanjian antarabangsa seperti ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom. 

Bantahan ini diterajui oleh badan bukan kerajaan yang didukung oleh dua parti Melayu Islam terbesar di negara ini iaitu Umno dan PAS. 

Kedua-dua parti itu sedang berusaha untuk menjalinkan kerjasama rasmi di mana piagam yang berbentuk Muafakat Perpaduan Ummah bakal dimeterai tidak lama lagi untuk menjadi satu gerakan politik menjelang PRU15.

Keputusan PRU14 menyaksikan Umno dan PAS masing-masing hanya mampu menang 54 kerusi dan 18 kerusi Parlimen. 

Meskipun Umno berhadapan dengan prestasi terburuk mereka dalam sejarah pilihan raya, parti itu masih mendapat sokongan majoriti orang Melayu sebanyak 46 peratus, diikuti PAS dengan 35 peratus.

Pakatan Harapan hanya mendapat 17 peratus sokongan Melayu.  – 28 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen