9 penguatkusa JPJ mengaku tak bersalah terima suapan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Sembilan penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima suapan untuk melindungi kesalahan jalan raya dilakukan pemandu lori. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2019.

SEMBILAN penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima suapan untuk melindungi kesalahan jalan raya dilakukan pemandu lori.

Semua tertuduh yang berusia antara 32 hingga 46 tahun didakwa dengan 164 pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 di Mahkamah Khas Rasuah Butterworth.

Tertuduh adalah Khairol Naim Mat Desa, 34, Muhamad Syukri Ishak, 35, Mohd Fairdaus Ishak, 35, Katimi Azmi, 35, Muhammad Firdaus Jaafar, 46, Noorzaimi Effendi Salleh, 35 dan M Muniandy, 45, Noor Fadzny Noordin, 32 dan Pirdaus Abd Karim, 34.

Kesemuanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Menurut fakta kes, kesemuanya didakwa menerima bayaran berjumlah kira-kira RM10,000 ke RM32,000 secara bulanan sejak 2016.

Ia didakwa sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori terlibat khususnya bagi kesalahan membawa muatan berlebihan selain membocorkan maklumat operasi JPJ.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Selvaranjini Selvaraja .

Nizam Zakaria membenarkan semua tertuduh diikat jamin antara RM11,000 ke RM20,000 setiap orang beserta seorang penjamin dan mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 2 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
 
Kesemua sembilan lelaki itu ditahan SPRM  di sekitar negeri itu pada 16 April lalu.

Pada bulan tersebut, SPRM menahan seramai 79 individu termasuk lapam orang awam yang didakwa berperanan sebagai proksi, tonto serta pemilik syarikat. – 28 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen