SEORANG jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan menerima sogokan tujuh kayu golf bernilai RM1,990.
Perintah reman terhadap suspek berusia 40 tahun itu dikeluarkan kira-kira jam 11.30 pagi oleh Majistret Rini Triany Muhamad Ali di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Suspek tiba di mahkamah pada jam 10.40 pagi memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tangan bergari.
The Malaysian Insight melaporkan semalam seorang pegawai ditahan agensi antirasuah kerana menerima set golf sebagai rasuah untuk mendapatkan projek mengecat semula garisan jalan.
Lelaki itu ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 4 petang, semalam.
Menurut sumber, suspek menerima tujuh batang kayu golf tersebut di pejabatnya dalam kejadian Mac lalu.
“Ia adalah habuan selepas membantu seorang peniaga mendapat projek mengecat semula garisan jalan dan lain-lain bernilai RM224, 578,” kata sumber,
Pengarah SPRM Selangor Alias Salim mengesahkan perkara tersebut namun enggan mengulas lanjut. – 28 Mei, 2019.
Jurutera JKR direman kes terima habuan kayu golf
Komen